Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

IB perjalanan luaskan ilmu, pengalaman amat berharga

Jan 11, 2021 | 5:30 AM
TUNGGAK SOKONGAN: Cik Nur Fateema (kanan) bersama ibunya, Cik Nor Sita Abdul, yang merupakan antara tunggak sokongannya sepanjang beliau menjalani program IB ini. - Foto BH oleh MARK CHEONG
TUNGGAK SOKONGAN: Cik Nur Fateema (kanan) bersama ibunya, Cik Nor Sita Abdul, yang merupakan antara tunggak sokongannya sepanjang beliau menjalani program IB ini. - Foto BH oleh MARK CHEONG -

Baru-baru ini, pelajar Singapura yang menduduki peperiksaan Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) telah meraih keputusan yang amat memberangsangkan. Kadar kelulusan bagi keseluruhan 2,228 pelajar yang menduduki peperiksaan IBDP di sini ialah 97.73 peratus, yang melebihi kadar keputusan global 76.68 peratus. Keputusan cemerlang ini turut diraih oleh kohort pertama pelajar madrasah. BERITA HARIAN meninjau aspirasi tiga pelajar program IB itu.

MENGARANG esei sebanyak 4,000 perkataan bukanlah satu perkara yang mudah bagi Nur Fateema Aziz.

Tugasan itu menjadi rumit lagi apabila beliau perlu menulis Esei Lanjutan, yang merupakan salah satu mata pelajaran wajib Program Diploma Baccaulaureate Antarabangsa (IBDP), dalam bahasa Arab.

Pelajar Pra-Universiti 2 Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu merupakan salah seorang daripada kohort pertama pelajar madrasah yang mengambil mata pelajaran bahasa bagi peringkat tingginya, iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

"Sejak kecil lagi, saya memang minat dalam mata pelajaran bahasa dan disebabkan itu saya memilih mengambilnya sebagai subjek peringkat tinggi," kata beliau, yang turut mengambil mata pelajaran Politik Global, Pembelajaran Matematik dan Sistem Persekitaran dan Masyarakat (ESS).

Disebabkan minatnya terhadap bahasa dan budaya Arab sejak awal persekolahan, Nur Fateema membuat keputusan mengambil topik Esei Lanjutan dalam bahasa Arab, menjadikan beliau satu-satunya pelajar yang berbuat demikian.

Sebagai topik perbincangannya, beliau memilih isu yang mendapat perhatiannya iaitu peranan jantina dalam budaya Arab.

Kajiannya memerlukan beliau membuat perbandingan layanan yang diberikan terhadap kaum wanita di Mesir pada tempoh yang berbeza.

Untuk memahami lagi isu ini, Nur Fateema membuat penyelidikan dengan membaca dua buku yang ditulis dalam konteks tahun 1940-an dan 1960-an.

Dari segi penulisan esei tersebut, Nur Fateema berkata beliau menghadapi kesukaran apabila perlu menterjemah tulisan dalam bahasa Arab itu agar ia lebih mudah difahami.

"Saya sering dinasihatkan oleh penyelia saya supaya cuba menyusun esei saya dengan menggunakan penulisan formal dan bukan dalam penulisan kreatif yang sudah saya terbiasa.

"Jadi, perkara ini menjadi antara cabaran terbesar saya," ujar pelajar berusia 19 tahun itu.

Semasa keputusan IB dikeluarkan baru-baru ini, Cik Nur Fateema berjaya meraih 35 daripada 45 mata.

Di sebalik kesyukuran yang dirasakan, beliau turut melahirkan penghargaan kepada sokongan dan dorongan yang diberikan oleh guru, rakan-rakan dan keluarganya.

"Terdapat masa apabila anda akan merasakan mudah putus asa, tetapi saya bernasib baik kerana mempunyai orang- orang yang sering memberi saya semangat meneruskan perjalanan ini," tambah anak sulung dalam keluarga empat beradik itu.

Diminta memberi nasihat kepada pelajar madrasah lain yang akan menduduki peperiksaan IB tahun ini, termasuk adiknya yang terdiri daripada 16 pelajar dalam kohort kedua ini, Cik Nur Fateema berkata:

"Ada yang akan berusaha mendapatkan keputusan cemerlang untuk IB, namun keputusan hanyalah hasil sampingan daripada perjalanan anda dalam program ini.

"Saya menyifatkan IB ini sebagai satu perjalanan yang dapat membantu meluaskan lagi pengetahuan anda dan ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg