Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu, anak cederakan penjawat awam ditahan

Jun 7, 2023 | 6:48 PM
LEMPAR PASU BUNGA: Gambaran di tingkat lapan Blok 415 Sembawang Drive menunjukkan tanah bertaburan dari pasu bunga yang pecah di laluan pejalan kaki dan tangga.
LEMPAR PASU BUNGA: Gambaran di tingkat lapan Blok 415 Sembawang Drive menunjukkan tanah bertaburan dari pasu bunga yang pecah di laluan pejalan kaki dan tangga. - Foto SHIN MIN

Seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang wanita berusia 57 tahun ditahan kerana menggunakan bahasa kesat dan secara sukarela menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam pada Isnin.

Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan pada 2.19 petang di Blok 415 Sembawang Drive.

Menurut laporan akhbar Shin Min Daily News pada Selasa, kedua-dua individu itu adalah pasangan ibu dan anak.

Paramedik yang berada di tempat kejadian memberitahu akhbar berbahasa Cina itu bahawa lelaki itu menjerit dan membaling pasu bunga, pisau dan bahagian komponen mesin basuh ke tingkat satu dari unit di tingkat lapan.

Paramedik telah diarahkan untuk membawa lelaki itu ke sebuah pusat perubatan.

Tetapi apabila pintu lif dibuka di tingkat lapan, lelaki itu melemparkan pasu dan pisau yang terkena seorang ahli paramedik, menyebabkan kecederaan ringan pada lehernya.

Selepas itu, ahli paramedik berusia 29 tahun itu bergegas ke tingkat satu dan memaklumkan situasi kepada polis.

“Saya agak takut apabila lelaki itu menyerang saya, tetapi saya sudah biasa menghadapi situasi yang sama, jadi saya cepat tenang semula.

“Semuanya berlaku terlalu pantas, jadi saya tidak tahu apa sebenarnya yang dia lemparkan kepada saya.

“Saya hanya tahu bahagian bawah leher saya cedera terkena objek tajam. Syukurlah, saya hanya mengalami kecederaan ringan,” kata paramedik itu.

Apabila sepasukan anggota polis tiba, pasangan ibu dan anak itu menjerit dan menggunakan bahasa kesat terhadap mereka dan membaling barangan rumah ke atas seorang anggota polis wanita.

Anggota polis memasuki flat itu dan menahan pasangan tersebut secara paksa sebelum menangkap mereka, menurut laporan akhbar Cina itu.

Seorang anggota polis wanita berusia 30 tahun juga mengalami kecederaan ringan, kata polis.

Gambar-gambar dipetik di tempat kejadian itu menunjukkan beberapa pisau bertaburan di kolong blok itu, dan tanah dari pasu bunga yang pecah bertaburan di laluan pejalan kaki dan tangga.

Seorang penduduk yang tinggal di tingkat yang sama dengan pasangan ibu dan anak itu mendedahkan lelaki itu mempunyai autisme.

“Ibunya seorang yang mesra. Dia akan menyapa saya walaupun dia tidak tahu bahasa Inggeris. Namun, entah kenapa dia kelihatan lesu dan letih sejak bulan lalu,” kata penduduk itu.

Siasatan polis sedang dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg