Sebahagian besar ibu bapa dan golongan belia menyokong pendekatan berperingkat yang membenarkan akses media sosial berdasarkan kumpulan usia kanak-kanak.

Lebih separuh daripada golongan ini juga bersetuju bahawa kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah tidak seharusnya mempunyai akses kepada media sosial.

Demikian antara dapatan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) hasil daripada pelbagai sesi penglibatan seperti perbincangan kumpulan dan dialog, dengan lebih 2,000 belia dan ibu bapa dari Jun hingga Ogos.

Dapatan itu didedahkan kepada umum pada 24 Oktober, seiring dengan penerbitan Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian (OSAR) bagi khidmat pengedaran aplikasi yang ditetapkan (D-ADS), yang julung-julung kalinya diterbitkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Menurut MDDI, walaupun golongan belia dan ibu bapa menyokong akses media sosial yang bersesuaian dengan usia, akses tersebut seharusnya menyokong keperluan pendidikan atau pembangunan literasi digital.

Ia turut mendapati bahawa ketagihan skrin dan penggunaan berlebihan merupakan antara dua kebimbangan utama dalam kalangan golongan belia dan ibu bapa, berhubung penggunaan media sosial.

Pendekatan berperingkat terhadap akses media sosial ini kali pertama didedahkan MDDI menyusuli jawapan bertulis kepada soalan Cik He Ting Ru (GRC Sengkang) yang diajukan di Parlimen pada Ogos.

Cik He antara lain bertanya sekiranya kementerian tersebut dalam perancangan bagi menubuhkan rangka kerja terhadap akses media sosial untuk mereka di bawah usia 18 tahun.

Dalam jawapannya, kementerian itu berkata ia sedang mengkaji pendekatan akses berperingkat terhadap media sosial bagi kanak-kanak, di mana pengguna berusia bawah 13 tahun disekat daripada mengakses Perkhidmatan Media Sosial Ditetapkan atau DSMS.

Bagi pengguna berusia antara 13 dengan 18 tahun, pihak DSMS diwajibkan untuk menyediakan pengalaman bersesuaian dengan usia, yang boleh merangkumi kandungan, interaksi, serta ciri-ciri sewajarnya.

Berdasarkan usaha penglibatannya, MDDI mendapati lebih 80 peratus ibu bapa menyokong pendekatan berperingkat manakala hampir 70 peratus belia turut menyokong pendekatan berperingkat.

Mereka yang ditinjau berpendapat kanak-kanak usia 0 hingga enam tahun tidak seharusnya mempunyai akses kepada media sosial, manakala golongan usia tujuh hingga 15 tahun boleh mempunyai akses, tetapi kandungan harus bersesuaian dengan usia, kata MDDI.

Dapatan juga menunjukkan 71 peratus atau lebih tujuh dalam 10 belia bimbang dengan ketagihan skrin dan penggunaan sosial media berlebihan, sekali gus membentuk kebimbangan utama bagi para belia.

Sebanyak 59 peratus daripada golongan ibu bapa juga berkongsi kebimbangan serupa, meletakkannya di tangga kedua bagi jenis kebimbangan sedemikian bagi ibu bapa – yang pertama adalah kandungan tidak sesuai (84 peratus).

Sehubungan itu, golongan belia dan ibu bapa bersetuju bahawa keselamatan dalam talian merupakan tanggungjawab bersama pemerintah, platform media sosial, ibu bapa dan kanak-kanak.

Oleh demikian, MDDI berkata platform media sosial tidak lama lagi perlu melaksanakan langkah jaminan usia lebih berkesan agar perlindungan dapat dipastikan bagi pengguna muda. Namun ia tidak memberikan butiran lanjut.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan