Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu lesap dengan anak sebelum perbicaraan, waran tangkap dikeluar
Ibu lesap dengan anak sebelum perbicaraan, waran tangkap dikeluar
Satu waran tangkapan dikeluarkan terhadap seorang wanita 48 tahun yang meninggalkan Singapura bersama anak perempuannya berumur sembilan tahun sebelum perbicaraan berhubung penjagaan.
Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan bahawa wanita itu berulang kali melanggar perintah mahkamah, seperti tidak memberi masa anaknya bersama ayah kandung selepas bercerai, dan tidak membawa anak itu ke Hakim Mahkamah Tinggi, yang mahu menemu duganya.
Hakim Choo Han Teck memaklumkan wanita itu belum kembali ke Singapura sejak waran tangkapan dikeluarkan pada Mei. Beliau berkata jika wanita itu ingin waran itu dibatalkan, beliau perlu berjanji akan kembali ke Singapura dan membawa anaknya ke mahkamah.
Wanita warga Singapura itu, yang belum diketahui status pekerjaanya, berkahwin dengan seorang doktor asal Amerika pada 2013. Mereka menetap di Amerika Syarikat selepas berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Selepas perhubungan mereka menjadi buruk, beliau membawa anaknya kembali ke Singapura pada 2018 dan memulakan proses perceraian.
Pada mulanya, Pesuruhjaya Kehakiman Tan Puay Boon memberi penjagaan bersama kepada kededua ibu bapa, sementara penjagaan dan kawalan kepada ibunya. Hak membuat keputusan harian dan keperluan anak diberikan kepada ibu atau bapa yang tinggal bersamanya.
Bapanya diberi akses panggilan video tiga kali seminggu bersama anaknya, dan tiga minggu semasa percutian musim panas anaknya, berganti-ganti apabila ayahya datang ke Singapura atau anaknya ke Amerika untuk meluangkan masa bersama.
Namun, si bapa mendakwa bahawa wanita itu tidak berkerjasama, antara lain, akan memutuskan talian semasa beliau membuat panggilan, atau mendesak anaknya menutup talian.
Beberapa perkembangan lain berlaku termasuk wanita itu memberi gambaran berada di Perancis bersama anaknya, dan anaknya kurang sihat untuk hadir dalam beberapa tarikh perbicaraan.
Pada 8 Mei, Hakim Choo mengeluarkan waran tangkapan terhadap ibu itu kerana gagal hadir ke mahkamah, dan dia menangguhkan tarikh perbicaraan kepada 12 Mei. Ibu itu masih tidak hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditangguhkan, mendakwa anaknya tidak sihat.
Hakim Choo juga membuat permohonan kepada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) di bawah arahan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga untuk mengambil anak itu ke dalam jagaan, sebagai aturan sementara apabila wanitu itu kembali ke Singapura.
Ini kerana wanita itu akan ditangkap apabila dia kembali ke Singapura. Hakim Choo mengarahkan CPS untuk menjaga kanak-kanak itu dalam tempoh sementara.
Pada Julai, kededua ibu dan bapa hadir untuk perbicaraan di platform Zoom. Wanita itu tidak bersetuju untuk mendedahkan lokasi, dengan mendakwa terdapat waran tangkapan terhadapnya.
Lelaki itu memohon kepada mahkamah supaya kanak-kanak itu tinggal bersamanya, bukan dengan ibunya, dan memberi kepadanya hak penjagaan tunggal. Hakim Choo meluluskannnya.
Peguam bagi lelaki itu, Cik Gloria James-Civetta, berkata dalam situasi sedemikian, kecuali lelaki itu dapat mengesan bekas isteri dan anak perempuan di negara yang mengiktiraf dan melaksanakan arahan Mahkamah Singapura, beliau mungkin perlu menunggu sehingga wanita itu rela kembali ke Singapura dan membolehkan perintahan mahkamah dilaksanakan.