TANGGUNGJAWAB mencari nafkah dan menjaga keluarga jatuh ke bahu Cik Nooria Abdul Hameed selepas suaminya disahkan menghidap barah hidung tahap tiga pada 1994.
Dengan dua anak yang masih kecil, Cik Nooria, yang pada waktu itu suri rumah sepenuh masa, mendorong dirinya keluar bekerja demi keluarganya.
Sepanjang dua dekad seterusnya, beliau turut memberi semangat kepada keluarganya.
Semalam, Cik Nooria menerima Anugerah Ibu Teladan anjuran Jabatan Keluarga dan Wanita Jamiyah Singapura di Swissotel The Stamford.
Beliau menerima Perisai Presiden, plak dan hadiah wang tunai $6,000.
Anugerah tahunan yang diadakan buat kali ke-25 itu, bertujuan meraikan pengorbanan ibu, tidak kira bangsa atau agama.
"Apabila suami saya disahkan menghidap barah, saya beritahu diri saya bahawa saya perlu menyokong keluarga saya dari segi kewangan. Saya juga menjaga suami saya dan memberinya sokongan emosi serta mendorongnya.
"Saya juga terus memberi dorongan kepada anak-anak saya agar sentiasa berikhtiar dan tidak mudah menyerah kalah. Kami hidup sederhana, namun kami yakin kami dapat mengharungi apa sahaja rintangan yang kami hadapi," kata Cik Nooria, 56 tahun.
Demi suami dan anak-anak yang kini berusia 23 dan 28 tahun, Cik Nooria melakukan pelbagai pekerjaan - di kilang, menjahit baju dan mengajar di pusat tajaka.
Suami Cik Nooria meninggal dunia dua tahun lalu.
Keadaan bertambah baik apabila beliau menyertai sebuah syarikat hartanah sebagai setiausaha dan kemudian menjadi ejen hartanah.
Dalam ucapannya, Presiden Halimah Yacob, yang hadir selaku tetamu terhormat, berkata pengorbanan ibu tidak boleh sekali-kali dipandang rendah.
"Sering kali, ibu mengorbankan banyak benda. Mereka mengorbankan apa jua sumber yang mereka ada, mereka mengorbankan masa dan semua benda demi anak-anak mereka. Bagi ibu, ia adalah proses yang tidak akan selesai," kata Puan Halimah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg