Selepas beliau bercerai pada 2018, Cik Lydia Azeana Mohd Dahlan terpaksa mengimbangi antara tanggungjawab menjaga tiga anaknya yang semuanya masih kecil ketika itu dengan tugasnya.
Lebih mencabar lagi, anak keduanya, Qusyairie Armani, lapan tahun, juga merupakan anak berkeperluan khas.
Menurut Cik Lydia, beliau mendapati sesuatu yang berlainan dengan tingkah laku Qusyairie sejak anaknya itu berumur tiga tahun.
Selepas membawanya menjalani penilaian pakar, Qusyairie didiagnos dengan kecelaruan ingkar atau oppositional defiant disorder (ODD) pada 2023.
Ini bermakna Qusyairie mempunyai kecenderungan untuk bertengkar, cepat marah dan selalu membantah Cik Lydia dan orang lain.
“Ramai yang tidak faham apakah ODD ini dan hanya menganggap saya tidak pandai jaga anak ataupun anak saya biadab,” jelas Cik Lydia.
Dalam kesibukan mengimbangi antara tanggungjawabnya itu, beliau tetap cekal berusaha mempertingkat diri dan membantu mereka yang memerlukan.
“Setiap hari ada cabarannya dan saya menganggapnya seperti satu perjalanan pembelajaran sebagai seorang ibu. Saban hari, saya belajar dan cuba lebih memahami dari lensa anak-anak.
“Anak-anak saya adalah kelemahan dan juga kekuatan saya. Saya mahu dan perlu anak-anak tahu bahawa saya akan sentiasa memberi sokongan kepada mereka dan mereka boleh bergantung kepada ibu mereka,” ujar Cik Lydia yang juga mempunyai dua lagi anak yang berusia tujuh dan 10 tahun.
Antara lain, pada 2021, Cik Lydia, yang bekerja sambilan dalam sektor makanan dan minuman (F&B), telah mengikuti program sarjana muda dalam psikologi di Atrium School of Arts and Sciences kerana ingin mendalami lebih lanjut mengenai diagnosis kesihatan mental.
Malah, beliau juga merancang mendalami ilmu dalam bidang itu dan ingin menyertai kursus dalam kaunseling pula.
Selain itu, beliau juga aktif menyumbang kepada masyarakat dengan menjadi relawan bersama Perkhidmatan Penjara Singapura dan juga menyertai Nisa Hope Network, kumpulan sokongan pemulihan bagi bekas pesalah wanita.
Cik Lydia diiktiraf dengan Anugerah Ibu Teladan 2024 oleh Jamiyah Singapura dalam satu majlis di Hotel Hilton di Orchard pada 7 September.
Anugerah tersebut bertujuan meraikan ibu-ibu yang telah mengatasi cabaran ketara dan meninggalkan kesan pada keluarga dan masyarakat.
Anugerah itu juga memberi penghargaan kepada ibu-ibu yang menunjukkan daya tahan, inovasi dan dedikasi yang tidak berbelah bagi.
Seorang lagi ibu, Cik Jean Ling, 40 tahun, turut dianugerahkan Anugerah Ibu Teladan Muda di acara tersebut.
Cik Ling mengalami kecederaan saraf tunjang sejak 10 tahun lalu hingga menyebabkannya lumpuh dari pinggang ke kaki.
Beliau, yang dahulunya seorang yang aktif dan berdikari, terpaksa mempelajari semula kemahiran asas.
Apabila beliau mengandung anak pertamanya empat tahun lalu, beliau bimbang kerana tidak yakin bagaimana untuk membesarkan anaknya itu.
Namun dengan sokongan daripada keluarga, Cik Ling dan suaminya menyesuaikan diri untuk membina persekitaran yang baik dan selesa untuk anaknya.
Kini pasangan itu mempunyai dua anak berusia empat dan dua tahun, dan beliau juga bakal menimang cahaya mata yang ketiga.
Dalam ucapannya, Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, berkata:
“Majlis ini lebih daripada sekadar tradisi, ia adalah penghormatan tulus kami kepada sumbangan luar biasa ibu-ibu.
“Ibu adalah asas bagi keluarga, masyarakat dan negara kita.”
Majlis itu turut disertai Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, sebagai tetamu terhormat.
Penerima anugerah utama Anugerah Ibu Teladan menerima hadiah wang tunai sebanyak $6,000, piala dan perisai.
Seramai empat lagi finalis bagi Anugerah Ibu Teladan menerima $2,000 setiap seorang.
Pemenang Anugerah Ibu Teladan Muda pula menerima $2,000 dan piala.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg