Proses permohonan dokumen imigresen seperti pasport bakal dipermudah dengan alat kecerdasan buatan (AI) baharu.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan menggunakan alat itu bagi mengelaskan dan mengekstrak data penting secara automatik daripada pasport serta dokumen lain, sekali gus mengurangkan perlunya semakan manual yang memakan tenaga kerja.

Alat AI pelbagai mod yang dinamakan ‘Matrix’ itu akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Mengumumkan demikian pada 8 Mei, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, berkata alat tersebut menghapuskan keperluan semakan manual yang intensif dari segi tenaga kerja.

“Hasilnya? Proses pengesahan menjadi lebih pantas, kesilapan dapat dikurangkan dan pengalaman yang lebih baik untuk semua,” katanya, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri.

Alat itu akan digunakan ICA sebagai sebahagian daripada Sistem Pemprosesan Bersepadu (IPS), yang dilancarkan pada Jun 2024 sebagai portal sehenti dalam talian bagi perkhidmatan kewarganegaraan, penduduk tetap (PR) dan pas lawatan jangka panjang.

Ia akan diperluaskan bagi meliputi permohonan Kad Pengenalan (NRIC), permit masuk semula, Kad Perjalanan Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), pasport serta pas lawatan jangka pendek.

Berucap semasa pelancaran Seminar Pelan Kerja ICA di Pusat Ekspo & Konvensyen Sands, Encik Shanmugam berkata keselamatan sempadan negara akan terus memanfaatkan kekuatan AI dan teknologi digital bagi memperkemas proses sedia ada.

Beliau menarik perhatian bahawa ICA telah pun mendigitalkan proses permohonan serta menggunakan sistem biometrik canggih untuk mengesan penipuan identiti.

Transformasi ICA akan diteruskan dengan inisiatif baharu, termasuk penggunaan AI dalam sistem IPS, selain algoritma dan model pembelajaran mesin untuk mengesan corak kompleks serta menjalankan pemprofilan risiko bagi setiap individu yang ingin memasuki Singapura.

“Langkah penyasaran ini akan diperluaskan. Kenderaan berisiko tinggi akan diliputi mulai Julai tahun ini (2026), manakala kargo berisiko tinggi pula mulai Jun tahun depan (2027),” tambah Encik Shanmugam.

ICA juga akan memperluaskan pelepasan automatik semasa ketibaan di pusat pemeriksaan darat kepada kenderaan dan kargo, menerusi sistem yang membolehkan lorong pelepasan automatik beroperasi 24 jam sehari bagi pemandu dan penumpang.

“Apa yang perlu dilakukan pemandu? Mereka perlu memandu masuk ke lorong, mengimbas kod QR dan mengemukakan biometrik wajah untuk pelepasan.

“Tiada sentuhan langsung dan tidak perlu keluar daripada kenderaan atau menunjukkan pasport. Tidak perlu juga pegawai imigresen berada di kaunter.

“Ini akan dilaksanakan pada awal tahun depan di Pusat Pemeriksaan Tuas,” kata Encik Shanmugam lagi.

ICA turut akan memulakan percubaan khidmat sendiri pada separuh kedua 2026 menerusi sistem yang menggunakan pemeriksa mutu cap jari berasaskan AI bagi mendaftarkan biometrik warga baharu, PR dan pemegang pas imigresen jangka panjang.

“Teknologi ini perlu diuji bagi memastikan ia berfungsi dengan baik. Dan jika ia berjaya, orang ramai mungkin tidak lagi perlu menunggu untuk dilayan pegawai ICA bagi mendaftarkan biometrik mereka,” ujar Encik Shanmugam.