Topik diikuti
Pergi ke BHkuICA jawab dakwaan pesanan WhatsApp, perjelas tentang dokumen yang perlu untuk masuk S'pura menerusi laluan darat
ICA jawab dakwaan pesanan WhatsApp, perjelas tentang dokumen yang perlu untuk masuk S'pura menerusi laluan darat
ICA jawab dakwaan pesanan WhatsApp, perjelas tentang dokumen yang perlu untuk masuk S'pura menerusi laluan darat
PENGUASA Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah menjawab dakwaan yang tersebar dalam pesanan WhatsApp bahawa pengunjung yang memasuki Singapura melalui laluan darat harus mengeluarkan dokumen tertentu seperti salinan fizikal sijil vaksinasi Covid-19 mereka.
Pesanan yang kononnya melaporkan penceritaan pengalaman seorang pengunjung yang melintasi salah sebuah pusat pemeriksaan di sini mendakwa sistem ICA dan Kementerian Kesihatan (MOH) tiada kaitan.
Ia juga mendakwa pengunjung harus mengeluarkan salinan digital Kad Ketibaan SG kerana sistem ICA tidak dapat mengesan kiriman dalam talian dokumen elektronik itu dan memo pemulihan fizikal jika mereka pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini.
Dalam satu kenyataan pada Selasa (5 April), ICA berkata warga Singapura yang pulang ke negara ini, penduduk tetap dan pemilik pas jangka panjang yang sudah divaksin di Singapura tidak diperlukan menyediakan salinan fizikal sijil vaksinasi mereka.
"Asal sahaja pengunjung ini sudah mengirimkan Kad Ketibaan SG mereka, rekod vaksinasi akan disahkan kelak dengan sistem MOH," jelas agensi itu.
Warga Singapura dan pengunjung asing yang menerima vaksinasi di luar negara juga tidak diperlukan untuk mengeluarkan salinan fizikal sijil itu jika mereka telah dapat memuatnaikkan versi digital itu bersama Kad Ketibaan SG mereka.
ICA juga berkata pengunjung tidak perlu menunjukkan bukti kiriman Kad Ketibaan SG mereka kepada pegawai ICA kerana pendaftaran kiriman itu secara automatik terpapar pada sistem pelepasan imigresen agensi itu.
Mereka yang sudah pulih daripada Covid-19 juga tidak perlu menyediakan memo pemulihan apabila melalui perjalanan menerusi pusat pemeriksaan darat di bawah Rangka Kerja Perjalanan Golongan Divaksin.
ICA mengingatkan pengunjung agar menyiapkan semua dokumen yang perlu dan mengirimkan Kad Ketibaan SG mereka dalam tempoh tiga hari ketibaan di pusat pemeriksaan.
"ICA juga ingin menasihati pengunjung agar merujuk pada saluran rasmi ICA (laman dan platform media sosial) bagi keterangan terkini berhubung dengan perjalanan di bawah Rangka Kerja Perjalanan Golongan Divaksin."
