Topik diikuti
Pergi ke BHkuICA: Koswe dijangka sesak sempena cuti umum panjang
ICA: Koswe dijangka sesak sempena cuti umum panjang
MEREKA yang merancang memasuki Malaysia sempena cuti hujung minggu yang panjang ini perlu bersedia menempuhi kesesakan di Koswe, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (27 April).
ICA menjangkakan lebih ramai orang yang akan menggunakan laluan darat pada hujung minggu ini kerana cuti Hari Buruh jatuh pada Ahad dan Isnin dan Hari Raya Puasa pada Selasa.
Mereka yang merentas sempadan ini perlu mengambil kira masa tambahan untuk pelepasan imigresen dan dinasihatkan supaya mengelakkan waktu sibuk, tambah ICA.
Mengimbas kembali hujung minggu yang panjang sebelum pandemik Covid-19, pihak berkuasa menekankan bahawa masa menunggu adalah sehingga empat jam bagi mereka yang memasuki Malaysia melalui pusat pemeriksaan darat semasa kemuncak Hari Kebangsaan dan hujung minggu panjang Hari Raya Haji pada 2019.
Mereka yang memandu pada ketika itu juga perlu menunggu sekitar sejam.
ICA berkata trafik berlepas ke Malaysia dijangka sesak antara Jumaat dan Sabtu manakala lorong ketibaan mungkin sesak antara Selasa dan Rabu.
ICA berkata ia akan mengambil langkah yang perlu untuk memudahkan pelepasan imigresen yang cekap namun tidak akan mengabaikan keselamatan orang ramai.
Polis trafik akan ditempatkan di persimpangan kritikal menuju ke pusat pemeriksaan darat bagi memastikan disiplin jalan raya dikekalkan pada laluan penting menuju ke pusat pemeriksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan arahan dan terus berada di lorong mereka.
ICA juga mengingatkan pemilik kereta berdaftar Singapura yang berlepas supaya memastikan tangki minyak kereta mereka penuh sehingga tiga suku sebelum sampai ke pusat pemeriksaan, atau menghadapi risiko tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.
Orang ramai juga perlu memastikan mereka mempunyai pasport yang sah, dengan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tamat tempoh, dan permit yang diperlukan.