Tiada sebarang gangguan bekalan elektrik di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 4 November, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), sekali gus menafikan laporan media Malaysia tentang gangguan di pintu sempadan utama tersebut. 

Pada 4 November, akhbar Malaysia The Star melaporkan bahawa “gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura” telah menyebabkan kesesakan teruk menuju pusat pemeriksaan Malaysia. 

Menurut laporan itu, masalah tersebut bermula sekitar tengah hari.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) pada 5 November, ICA menyatakan kerja penyelenggaraan elektrik yang dirancang telah dijalankan di Pusat Pemeriksaan Woodlands Lama pada 4 November, dari 10 pagi hingga 2 petang.

Semasa kerja itu dijalankan, Pusat Pemeriksaan Woodlands Lama tidak dapat digunakan buat sementara waktu bagi pemeriksaan lori yang tiba. Namun, pemeriksaan lori diteruskan di Pusat Pemeriksaan Woodlands, jelas ICA.

Dalam tempoh itu, sebahagian trafik kargo menuju Singapura menjadi sedikit sesak di koswe, kata ICA. Operasi di Pusat Pemeriksaan Woodlands Lama disambung semula sekitar 4 petang hari tersebut.

ICA menyatakan bahawa kemudiannya pada hari sama, pihaknya melihat dua lori rosak di bahagian koswe Malaysia menuju Singapura, masing-masing sekitar 4.30 petang dan 6.30 petang.

Kerosakan itu menyekat satu daripada tiga lorong ketibaan. Ini menyebabkan barisan kenderaan memanjang dari lokasi lori rosak hingga ke Malaysia, tambah ICA.

Kesesakan bertambah teruk akibat jumlah kenderaan yang lebih tinggi pada waktu sibuk petang, kata ICA.

Lori pertama hanya dialihkan pada 9.50 malam hari itu, manakala lori kedua dialihkan sekitar 12.20 pagi pada 5 November.

“Dalam tempoh ini, trafik menuju Pusat Pemeriksaan Woodlands terganggu. ICA memaklumkan pengembara di Facebook tentang kenderaan yang rosak dan kelewatan yang dijangka, serta apabila lorong yang terjejas dibuka semula,” tambahnya. 

Penjelasan ICA itu dikeluarkan selepas akhbar Malaysia The Star, dalam artikel bertajuk Power outage at Woodlands Checkpoint triggers massive Causeway gridlock, mengaitkan barisan panjang kenderaan dengan gangguan bekalan elektrik.

Laporan itu menambah: “Walaupun semua kaunter beroperasi pada tahap optimum di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, kesesakan berlarutan selama beberapa jam akibat barisan kenderaan dari sebelah Singapura.”

Laporan itu juga menyatakan bahawa ketika ia disiarkan, “masih tidak jelas apa yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Singapura”.

Pintu sempadan darat Singapura dengan Malaysia – di Tuas dan Woodlands – adalah antara yang tersibuk di dunia.

Menurut statistik ICA yang dikeluarkan pada Februari lalu, hampir 245 juta pengembara melalui pusat pemeriksaan Singapura pada 2025. Angka itu mengatasi 230 juta pada 2024.