Idea dari perbincangan Rancangan Hijau akan dinilai bagi lahirkan tindakan
Idea dari perbincangan Rancangan Hijau akan dinilai bagi lahirkan tindakan
Idea dari perbincangan Rancangan Hijau akan dinilai bagi lahirkan tindakan
IDEA yang timbul daripada perbincangan bersama orang ramai mengenai Rancangan Hijau Singapura 2030 akan dinilai, dengan tujuan melaksana tindakan iklim bermakna, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Beliau berkata demikian semalam, hari pertama interaksi diadakan bersama rakyat Singapura bagi mendapatkan pandangan dan idea mereka mengenai Rancangan Hijau itu, yang dilancarkan Februari lalu.
Rancangan tersebut bertujuan menetapkan sasaran seperti mempunyai bangunan lebih menjimatkan tenaga dan meningkatkan daya tahan terhadap kesan perubahan iklim, seperti meningkatkan penghasilan makanan tempatan.
Sesi semalam, diadakan dalam talian menggunakan aplikasi Zoom, dihadiri lebih 60 orang, dengan separuh daripada mereka adalah orang awam dan selebihnya wakil daripada sektor awam dan swasta.
Peserta membincangkan pertimbangan Rancangan Hijau dan kesannya terhadap kehidupan harian mereka, dan cara mereka dapat memainkan peranan ke arah negara lebih mesra alam.
Cik Fu menyatakan bahawa rakyat Singapura amat prihatin mengenai alam sekitar.
Sejak rancangan itu dilancar, ia telah menjana banyak perbincangan dan beberapa saranan diberi melalui laman rasminya.
"Kami akan mengumpulkan saranan, bahagikannya berdasarkan topik dan mencari wadah bagi membincangkan dan menilainya,'' ujar Cik Fu.

