KEDUA-DUA mangsa dan pelaku keganasan keluarga tidak lama lagi akan dapat melindungi identiti mereka untuk memberikan mereka privasi dan masa untuk memperbaiki hubungan.
Ini merupakan antara perubahan saranan yang ingin Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dapatkan daripada pandangan awam, sedang saranan oleh pasukan bertindak mengenai keganasan keluarga mula dibentangkan.
Perundingan awam telah dihoskan di portal maklum balas pemerintah reach.gov.sg antara 6 April dengan 30 April.
Selain daripada sama ada menerbitkan maklumat yang boleh dapat mengenal pasti pelaku atau mangsa keluarga keganasan harus dilarang, pihak kementerian juga ingin mendapatkan maklum balas mengenai isu mengenai Perintah Perlindungan Peribadi (PPO).
Sekatan sedia ada mengenai penerbitan maklumat sedemikian termasuk perintah tegahan, atau gag order, yang diperintah mahkamah mengenai identiti mangsa atau jika kanak-kanak di bawah usia 18 tahun yang terlibat kerana mereka dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA).
"MSF merancang untuk melindungi privasi sesetengah individu yang mengalami keganasan keluarga untuk menawarkan kepada mereka masa kembali pulih dan memberi tumpuan memperbaiki hubungan mereka jika perlu," kata pihak kementerian itu pada 6 April lalu.
Ia menambah ini termasuk mereka yang menerima respons kecemasan khidmat sosial, mereka yang dikenakan notis perlindungan had masa yang disarankan, dan mereka yang mempunyai permohonan PPO.
PPO merupakan perintah mahkamah yang mengekang seseorang daripada melakukan keganasan terhadap anggota keluarga mereka.
Pengecualian akan dibuat jika pengarah besar kebajikan sosial memberikan kelulusan sebelumnya, atau jika permohonan PPO membenarkan penerbitan.
Mengenai PPO, MSF mahu mendapatkan pandangan awam tentang sama ada pelanggaran perintah kaunseling dan penilaian wajib dan perintah rawatan yang disarankan oleh responden harus dijadikan sebagai kesalahan jenayah.
Buat masa ini, mereka yang gagal untuk mematuhi perintah kaunseling yang dibuat dengan PPO tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Pemohon perlu mengemukakan perbicaraan undang-undang terhadap responden.
Hukuman bagi pelanggaran perintah perlindungan buat masa ini ialah denda sehingga $2,000, hukuman penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan susulan boleh dikenakan denda sehingga $5,000, hukuman penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
MSF juga mahu mendapatkan maklum balas orang awam tentang sama ada terdapat kes luar biasa yang memerlukan PPO dibatalkan meski pihak belum menamatkan perintah kaunseling.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg