Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ikan pari bonceng ‘Pari-man’ dari Pasir Ris ke Jurong...

Aug 2, 2023 | 6:08 PM
UMPAMA BEG: Encik Muhammad Sufiyan Jumali menunggang motosikalnya dengan membawa ikan pari hasil tangkapannya bak beg galas.
UMPAMA BEG: Encik Muhammad Sufiyan Jumali menunggang motosikalnya dengan membawa ikan pari hasil tangkapannya bak beg galas. - Foto FACEBOOK GARY SIM

Itu bukan beg galas. Ia ikan pari.

Dari Pasir Ris hingga Jurong West, seorang penunggang motosikal dilihat membawa ikan pari hasil tangkapannya bak beg galas.

Foto yang dirakam ketika beliau berada di persimpangan Pasir Ris Industrial Drive 1 ini tular di media sosial sejak ia dimuat naik pada Selasa.

Ketika dihubungi Berita Harian, lelaki tersebut, Encik Muhammad Sufiyan Jumali, berkongsi bahawa ikan pari seberat 25 kilogram itu adalah salah satu daripada tiga ikan pari yang ditangkap beliau dan rakan-rakannya di laut di Pasir Ris Park.

Lagi dua ikan pari itu, seberat 19kg dan 61kg, telah dipotong dan dibahagi-bahagi antara mereka dan disimpan di dalam peti.

“Tinggal satu lagi ikan yang tak muat dalam peti (motosikal), jadi saya terpaksa angkat,” ujar Encik Sufiyan, yang berusia 36 tahun.

TANGKAPAN BESAR: Rakan Encik Muhammad Sufiyan Jumali - (dari kiri) Encik Muhd Nasrullah Ramlee, Encik Muhammad Danial Jaffar dan Encik Hairul Daris Karl Johari - bergambar bersama ikan pari seberat 25kg and 61kg tangkapan mereka di Pasir Ris Park.
TANGKAPAN BESAR: Rakan Encik Muhammad Sufiyan Jumali - (dari kiri) Encik Muhd Nasrullah Ramlee, Encik Muhammad Danial Jaffar dan Encik Hairul Daris Karl Johari - bergambar bersama ikan pari seberat 25kg and 61kg tangkapan mereka di Pasir Ris Park. - Foto ihsan MUHAMMAD SUFIYAN JUMALI

Beliau, yang bekerja dalam sektor makanan dan minuman, gemar memancing dan melakukannya pada waktu lapang beberapa kali sebulan. Menurut Encik Sufiyan, beliau mula mengikut bapanya pergi memancing sejak berusia empat tahun.

Beliau dan rakan-rakannya memburu ikan pari jenis Bull Ray itu lebih setahun tetapi tidak berhasil.

Namun, nasib menyebelahi mereka pada pagi 22 Julai apabila mereka berjaya menangkap bukan satu tetapi tiga pari jenis itu di Pasir Ris Park.

Berkongsi pengalaman mencuit hati, Encik Sufiyan berkata seorang pejalan kaki tidak perasan ‘beg galasnya’ sebenarnya adalah seekor ikan pari dan bertanya tentang hasil tangkapannya.

“Dia tanya, macam mana, ada ikan tak? Saya pun terfikir, alamak dia tak nampak ke. Mungkin dia ingat itu (ikan pari) beg sandang. Bila saya beritahu dia yang ikan itu di belakang saya, pak cik itu pun terkejut,” ceritanya sambil tertawa.

Hasil tangkapannya, bapa tiga anak itu dapat berkongsi rezeki bersama keluarga dan jirannya, menikmati pelbagai hidangan – asam pedas ikan pari, ikan pari bakar sambal, dan ikan pari bakar masak pecel.

“Keluarga saya amat gembira, mereka sudah lama nak makan ikan pari ini. Bukan kami tidak mahu beli di kedai tetapi apabila kita tangkap ikan yang segar, rasanya lain daripada yang di pasar. Keluarga saya lebih suka makan ikan segar yang baru ditangkap,” kata Encik Sufiyan.

NIKMATI IKAN SEGAR: Encik Muhammad Sufiyan Jumali bersama tiga anaknya bergambar bersama ikan pari yang ditangkap beliau.
NIKMATI IKAN SEGAR: Encik Muhammad Sufiyan Jumali bersama tiga anaknya bergambar bersama ikan pari yang ditangkap beliau. - Foto ihsan MUHAMMAD SUFIYAN JUMALI

Memberi respons kepada komen warganet – sesetengahnya melabekan beliau ‘Pari-man’ sementara yang lain bertanya di mana mereka boleh beli ‘beg’ jenis itu – Encik Sufiyan berkata:

“Malu ada, segan pun ada tetapi alhamdulillah tiada komen negatif... masyarakat pemancing amat menyokong. Komen-komennya juga amat kelakar!”

Encik Sufiyan pun sempat berseloroh: “Ikan pari ini untung. Sebelum kena potong, saya dah bawa ia naik motor makan angin.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg