IKEA Singapura akan menawarkan kopi dan teh percuma di tiga cawangannya di Tampines, Jurong dan Alexandra.

Inisiatif itu, yang diambil memandangkan keadaan jerebu di Singapura semakin teruk, akan berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober (Isnin hingga Jumaat depan), katanya dalam satu kenyataan media pada 16 Oktober.

Tiada perbelanjaan minimum diperlukan untuk menebus minuman itu, yang boleh didapati di restoran kedai berkenaan.

Semua cawangan IKEA berpenyaman udara dan dilengkapi penapis Pemanasan, Pengudaraan dan Penyaman Udara (HVAC) MERV 14, yang membantu menangkap zarah halus, termasuk zarah yang terdapat dalam asap, katanya.

Ketua Eksekutif IKEA Singapura, Encik Michael la Cour, berkata: “Ini gesaan kecil, tetapi itulah yang termampu kami lakukan untuk kedai-kedai kejiranan kami. Kami mahu ia menjadi tempat yang selesa untuk masyarakat kami di Tampines, Jurong dan Alexandra.”

“Anggaplah seperti di rumah sendiri. Kami akan buatkan minuman,” kata Encik la Cour.

IKEA Tampines dan Alexandra dibuka dari 11 pagi hingga 10 malam pada hari bekerja. Cawangan Jurong dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam.