Syarikat perabot Sweden, Ikea, menarik balik beberapa model bank kuasa Varmfront pada 17 Julai disebabkan risiko keselamatan kebakaran akibat kesilapan pengeluaran.
Sebanyak 36 unit terjejas telah dijual di Singapura dan tiada insiden dilaporkan buat masa ini, jelas satu kenyataan oleh Ikea.
Terdapat kesilapan pengeluaran pada dua produk iaitu: Bank kuasa Varmfront 10,400mAh (nombor model E2038) dengan setem tarikh (YYWW) 2313, 2316, 2318 atau 2319 dan Bank kuasa Varmfront 5,200mAh (nombor model E2037) dengan setem tarikh (YYWW) 2318, 2319 atau 2322.
Pelanggan memiliki produk tersebut harus berhenti menggunakannya serta-merta dan menghubungi pihak Ikea untuk mendapatkan bayaran balik penuh. Bukti pembelian tidak diperlukan.
“Produk Ikea dinilai risiko dan diuji secara menyeluruh untuk memastikan ia dapat menahan ujian dan ia mematuhi keperluan dan peraturan di semua pasaran tempat Ikea beroperasi,” kata syarikat perabot itu.
Ia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi pelanggan akibat penarikan balik produk itu.
Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh melungsuri laman Ikea.sg atau menghubungi talian Pusat Hubungan Pelanggan Ikea di +65-6786-6868.
Pada 2022, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah mengeluarkan penyata nasihat tentang cara mencegah kebakaran yang melibatkan bateri, dan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengikut arahan yang diberikan oleh pengeluar bateri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg