Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ikhtiar guna TCM sokong proses IVF untuk hamil

Aug 20, 2023 | 5:41 AM
BERIKHTIAR: Cik Nur Diyanah Yahya mendapatkan bantuan Perubatan Tradisional Cina (TCM) sebelum melakukan pusingan pensenyawaan ‘in vitro’ (IVF) ketiga pada 2019. Beliau dan suami, Encik Ahmad Mahir Mohamad Kamil, mendapat sepasang kembar, Iman Lana dan Iman Rayyan, hasil proses IVF. Mereka dikurniakan seorang lagi anak, Iman Aafiyah (didukung), setahun kemudian.
BERIKHTIAR: Cik Nur Diyanah Yahya mendapatkan bantuan Perubatan Tradisional Cina (TCM) sebelum melakukan pusingan pensenyawaan ‘in vitro’ (IVF) ketiga pada 2019. Beliau dan suami, Encik Ahmad Mahir Mohamad Kamil, mendapat sepasang kembar, Iman Lana dan Iman Rayyan, hasil proses IVF. Mereka dikurniakan seorang lagi anak, Iman Aafiyah (didukung), setahun kemudian. - Foto ihsan NUR DIYANAH YAHYA

Demi impian menimang cahaya mata, Cik Nur Diyanah Yahya sanggup membiarkan badannya dicucuk-cucuk jarum halus setiap minggu.

Beliau menggagahkan diri menelan ramuan herba yang pahit, meninggalkan minuman sejuk dan mengambil air rebusan kurma merah tanpa gula setiap hari.

Guru sekolah rendah itu melakukan demikian atas nasihat pakar Perubatan Tradisional Cina (TCM) yang ditemuinya sekitar 2019 ketika beliau sedang gigih berusaha mendapatkan zuriat setelah beberapa tahun berumah tangga.

Pengorbanan dan keberanian Cik Nur Diyanah berhasil. Beliau hamil dalam masa tiga bulan selepas memulakan rawatan TCM itu dan kini bergelar ibu tiga anak kepada sepasang kembar lelaki dan perempuan berusia tiga tahun dan seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun.

“Setelah berkahwin selama dua tahun dan belum mendapat anak, saya berjumpa doktor dan diberitahu bahawa kiraan telur saya agak rendah dan ini menyukarkan saya untuk hamil. Doktor itu menyarankan saya menjalani proses pensenyawaan in vitro (IVF). Setelah pusingan pertama dan kedua tidak berjaya, saya mahu mencuba sesuatu yang lain yang boleh membantu meningkatkan peluang kejayaan pusingan IVF ketiga. Saya baca di dalam talian bahawa akupunktur boleh membantu. Jadi saya pergi ke sebuah klinik TCM di Ang Mo Kio untuk mencuba,” kata wanita berusia 36 tahun itu.

Cik Nur Diyanah berkata beliau berasa agak gementar kerana tidak tahu apa yang harus dijangka kerana beliau tidak pernah mendapatkan rawatan TCM sebelum itu.

“Pakar itu memeriksa nadi dan lidah saya. Pada mulanya saya mendapati pemeriksaan itu agak aneh, tetapi saya telah membaca reviu yang bagus tentang klinik dan pakar itu, jadi saya percaya apa yang beliau lakukan adalah yang terbaik,” katanya.

Satu lagi perkara yang beliau dapati agak luar biasa di klinik itu ialah pakar yang merawatnya tidak fasih berbahasa Inggeris dan dibantu seorang penterjemah.

Namun, Cik Nur Diyanah berkata ia bukan satu isu yang besar baginya kerana beliau masih boleh bertanya atau meminta nasihat pakar itu menerusi penterjemah.

“Pakar itu menasihatkan saya supaya minum air suam dan mengambil air rebusan kurma merah tanpa gula. Beliau juga menasihatkan saya agar menjaga pemakanan saya. Beliau melakukan rawatan akupunktur dan memberi saya ubat herba untuk dimakan setiap hari. Saya mengikut semua nasihatnya selama tiga bulan sebelum saya memulakan pusingan IVF ketiga,” kata Cik Nur Diyanah.

Berkongsi pengalamannya menjalani rawatan akupunktur buat kali pertama, Cik Nur Diyanah berkata beliau mendapati jarum yang dicucuk pada kaki, perut dan belakang badannya itu tidak menyakitkan.

Beliau bagaimanapun berasa sedikit sengal apabila kaedah elektroakupunktur dilakukan iaitu sedikit tenaga elektrik disalurkan pada jarum akupunktur bagi memberi getaran ringan semasa rawatan.

Cik Nur Diyanah bagaimanapun berkata beliau sukar mengambil ubat herba yang diberikan.

“Ubatnya dalam bentuk serbuk dan saya perlu membancuhnya dengan air. Ia sangat susah ditelan. Tetapi saya kuatkan diri juga untuk minum,” katanya.

Setelah persiapan tiga bulan itu, tiba masa untuk Cik Nur Diyanah menjalani proses mengeluarkan telur.

Beliau terkejut mendapat tahu bilangan telurnya telah naik dua kali ganda berbanding pusingan IVF pertama dan kedua yang dilakukan.

“Saya mempunyai 12 telur dalam pusingan terakhir itu, berbanding tiga pada pusingan pertama dan lima pada pusingan kedua. Jadi saya rasa ia membantu,” kata Cik Nur Diyanah yang mendapat anak kembar hasil kaedah IVF dan anak ketiga secara normal.

Setelah pemindahan embrio dijalankan, beliau mendapatkan rawatan TCM untuk dua lagi sesi, dan kemudian diberitahu tidak perlu lagi meneruskannya.

Cik Nur Diyanah berkata beliau membayar sekitar $70 bagi setiap sesi rawatan termasuk ubat dan konsultasi.

Pakar itu memeriksa nadi dan lidah saya. Pada mulanya saya mendapati pemeriksaan itu agak aneh, tetapi saya telah membaca reviu yang bagus tentang klinik dan pakar itu, jadi saya percaya apa yang beliau lakukan adalah yang terbaik... Saya mempunyai 12 telur dalam pusingan terakhir itu, berbanding tiga pada pusingan pertama dan lima pada pusingan kedua. Jadi saya rasa ia membantu.
Cik Nur Diyanah Yahya.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg