Pengetahuan silang budaya adalah penting dalam menyokong remaja Melayu/Islam yang menghadapi kehamilan luar nikah, kata Perunding Kerja Sosial, Encik Mohd Ali Mahmood, semasa satu sesi dialog pertama, Babes Teatime anjuran Babes Pregnancy Crisis Support Ltd (Babes), pada 21 Februari.
Encik Mohd Ali berkata memandangkan masyarakat Melayu/Islam sangat berkait rapat dengan bangsa dan agama, pekerja sosial perlu mengamalkan pendekatan yang mengambil kira sensitiviti budaya dalam menyokong dan membimbing golongan tersebut dengan berkesan.
Dihadiri kira-kira 40 karyawan kerja sosial dan bantuan daripada agensi perkhidmatan sosial yang berkaitan dengan belia dan keluarga, sesi itu memberi tumpuan kepada stigma dan cabaran yang berkait dengan kehamilan luar nikah dalam masyarakat Melayu/Islam.
Encik Mohd Ali berkata: “Apabila membincangkan lebih mendalam mengenai pandangan dunia dan sistem kepercayaan pelbagai budaya, masih ada ruang untuk penambahbaikan.
“Cabaran utama adalah mencari pakar yang dapat memberikan pengetahuan khusus ini dan memulakan perbualan yang bermakna mengenai topik ini.”
Beliau menambah bahawa sebahagian besar teori dan rangka kerja yang ada berakar pada perspektif Barat kelas pertengahan.
“Ini mungkin tidak selalu sesuai dengan konteks tempatan atau Asia, terutamanya masyarakat Melayu/Islam di Singapura,” ujarnya.
Justeru, tambahnya, diperlukan lebih banyak penyelidikan yang memberi tumpuan kepada bagaimana masyarakat menangani isu-isu berdasarkan kepercayaan budaya Melayu/Islam yang unik.
Mengulas lanjut, Encik Mohd Ali menjelaskan bahawa keputusan ketika berhadapan dengan isu kehamilan luar nikah sering kali tidak hanya berdasarkan kepada keadaan semasa, bahkan juga melibatkan pertimbangan masa hadapan.
“Jika individu tidak mempunyai akses kepada sumber yang dapat membantu mereka membuat keputusan tepat, ia akan menjadi satu cabaran besar.
“Oleh itu, adalah penting bagi pekerja sosial untuk peka terhadap perspektif budaya, terutamanya bagaimana kepercayaan budaya dan agama mempengaruhi hasil keputusan,” jelasnya.
Antara yang diketengahkan semasa dialog, yang berlangsung selama dua jam itu, adalah empat unsur – ilmu wahyu; ilmu yang diperoleh; persekitaran yang dilihat; dan persekitaran yang tidak dilihat – yang mempengaruhi proses menghasilkan keputusan bagi remaja Melayu/Islam yang menghadapi kehamilan luar nikah.
Menurut sesi tersebut, unsur sedemikian saling berkait dan membentuk pemahaman serta tindakan yang diambil oleh individu dalam menghadapi cabaran sosial dan peribadi.
Daripada sesi itu, rata-rata peserta mendapati ia bermanfaat, dan walaupun antara daripada mereka bukan daripada bidang berkaitan, mereka memberi maklum balas bahawa kehadiran mereka untuk mendapatkan pengetahuan tambahan adalah untuk membantu memahami dan menangani kemungkinan senario masa depan dengan lebih baik.
Peserta terdiri daripada karyawan kerja sosial dan bantuan daripada agensi perkhidmatan sosial berkaitan belia dan keluarga seperti Reach Youth Services, Care Singapore, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), aLife, Pusat Perkhidmatan Keluarga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), institusi pendidikan tinggi dan hospital.
Rakan kerja sosial kanan, Cik Ixora Amyra, berkata:
“Dengan berkongsi sumber dan kepakaran, kita dapat membina rangkaian lebih kukuh dan bekerjasama. Kerja sosial bukanlah bekerja secara bersendirian, ia melibatkan kerjasama dengan masyarakat.
“Dengan menyediakan ruang bagi perkongsian terbuka, kita dapat memupuk pembangunan masyarakat dan pertumbuhan bersama.”
Pengarah eksekutif Babes, Cik Melisa Wong, pula melahirkan harapan bahawa pihaknya dapat mengadakan sesi sedemikian setiap tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg