Topik diikuti
Pergi ke BHkuImpian belikan ibu rumah dorong kejayaan pengasas bersama Cheekies
Berkat tekad dan usahanya, Nabill Shukry Johary dinobat penerima Anugerah Jauhari Harapan 2026
Impian belikan ibu rumah dorong kejayaan pengasas bersama Cheekies
Sepanjang lima tahun, Encik Nabill Shukry Johari, berusaha membina perniagaan dengan berpegang pada satu matlamat.
Beliau mahu membelikan ibunya sebuah rumah selepas keluarganya terpaksa berpindah-randah hampir tujuh kali ekoran berhadapan masalah kewangan.
Meskipun tidur berteman deru peti sejuk – tempat produknya disimpan – di ruang tamu flat sewa satu bilik yang sempit, impian Encik Nabill setinggi langit.
“Saya berjanji kepada keluarga bahawa apabila keadaan perniagaan sudah stabil, saya akan mendapatkan sebuah rumah untuk mereka. Itulah yang mendorong saya,” katanya.
Namun, sebelum dapat berpindah ke rumah sendiri, keluarga itu menetap di flat sewa.
Di kediaman di Tampines yang kecil, Encik Nabill, 29 tahun, terdorong untuk menghasilkan ayam perapan yang menitikberatkan aspek kesihatan – sesuatu yang amat dekat di hatinya.
Encik Nabill menyedari terdapat jurang dalam pasaran ketika beliau mencari pilihan makanan sedemikian menjelang penghujung Perkhidmatan Negara (NS).
Apa yang bermula sebagai usaha mencari pendapatan tambahan semasa pandemik Covid-19 akhirnya berkembang menjadi Cheekies, perniagaan ayam perapan halal yang kini dikenali ramai, termasuk menerusi jualan di TikTok Live.
Sebelum Cheekies berkembang menjadi perniagaan yang berjaya, keluarga Encik Nabill, termasuk adik lelakinya, bergelut untuk membayar sewa rumah, bil perubatan ibunya dan perbelanjaan harian.
Bapanya, Encik Johary Ibrahim, 58 tahun, ketika itu bekerja sebagai pemandu kereta sewa privet dan merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga.
Namun, pendapatannya turut terjejas semasa pandemik Covid-19.
“Kami menghadapi kesukaran membayar sewa rumah dan bil perubatan ibu.
“Ada kalanya, wang yang ada juga tidak mencukupi untuk membeli makanan. Jadi, kami memutuskan untuk melakukan sesuatu yang dapat menjana pendapatan,” kata lulusan Diploma dalam Pengurusan Perusahaan Sosial dari Politeknik Republic (RP) pada 2018 itu.
Bersama ayahnya, Encik Nabill gigih menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi ayam perapan dengan merujuk video dalam talian.
Berbekalkan simpanan $1,000, Encik Nabill melancarkan Cheekies sebagai perniagaan dari rumah (HBB) pada Julai 2021.
Ibu bapanya pernah mengusahakan sebuah syarikat reka bentuk dalaman dari 2000 hingga 2004.
Namun, perniagaan itu akhirnya menghadapi masalah kewangan melibatkan rakan kongsi syarikat.
Dalam usaha membina semula kehidupan, bapanya, Encik Johary, melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk sebagai jurujual kereta dan perabot.
Beliau kemudian cuba menceburi bidang lain dengan membuka klinik homeopati serta syarikat pengurusan acara, namun kedua-dua usaha itu tidak berhasil.
Akhirnya, beliau bekerja sebagai pemandu kereta sewa privet.
Bagi Encik Nabill, keadaan tempat tinggal yang serba terhad dan cabaran kehidupan itu menguatkan lagi tekadnya untuk membawa keluarga keluar daripada lingkaran kesempitan.
Beliau mahu memberikan kehidupan yang lebih stabil kepada kedua-dua orang tuanya.
“Saya melihat keluarga lain mempunyai kehidupan dan tempat tinggal yang baik.
“Saya juga tahu ibu bapa saya semakin berusia dan mereka berhak mendapat sesuatu yang lebih baik, termasuk sebuah rumah yang boleh mereka banggakan,” ujar anak sulung dua beradik itu.
Namun, ketika impiannya untuk memiliki rumah sendiri bersama keluarga semakin hampir menjadi kenyataan dengan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan Tanjong Rhu bakal siap, Encik Nabill diuji dengan kehilangan insan tersayang.
Ibunya, Cik Nor Hayati Mohammed, 62 tahun, meninggal dunia akibat beberapa penyakit kronik, termasuk penyakit ginjal.
“Detik paling sukar adalah apabila saya kehilangan ibu.
“Sepanjang lima tahun perjalanan ini, tujuan saya adalah untuk membelikannya sebuah rumah. Akhirnya, kami berjaya membeli rumah itu, tetapi ibu tidak sempat menikmatinya.
“Untuk suatu tempoh, Cheekies seolah-olah kehilangan jiwanya kerana kami kehilangan tujuan asal kami,” akui Encik Nabill kepada Berita Harian (BH).
Selepas pemergian ibunya, kejayaan perniagaan itu tidak lagi membawa kegembiraan yang sama.
Walaupun jualan meningkat, Encik Nabill berasa kosong. Tekanan menguruskan perniagaan dalam tempoh berkabung itu turut menjejas operasi Cheekies.
Namun, beliau akhirnya menyedari bahawa perniagaan itu bukan lagi sekadar tentang dirinya dan keluarganya.
“Saya sedar ramai orang bergantung pada kami. Ini bukan lagi tentang diri kami sahaja, tetapi juga pekerja dan perniagaan kami,” katanya.
Kini, Encik Nabill yang baru menerima ijazah Sarjana Muda Pemasaran dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 15 Oktober lalu, berharap Cheekies dapat menjadi wadah untuk membuka lebih banyak peluang kepada mereka yang ingin memperbaiki kehidupan sendiri.
Perniagaan yang dibinanya demi memberikan ibunya sebuah rumah kini membawa tujuan yang lebih luas.
Menerusi syarikatnya, Cheekies Enterprise Pte Ltd, beliau bakal menyalurkan $10,000 bagi dermasiswa yang dijangka mula diberikan kepada pelajar RP pada sekitar April 2027.
Encik Nabill mahu membantu pelajar – di institut tempat beliau pernah menimba ilmu – yang mungkin menghadapi cabaran kewangan sama seperti apa yang pernah beliau lalui dahulu.
Ia sebagai sumbangan yang dibuat bagi mengenang Allahyarhamha ibu.
Walaupun ibunya tidak sempat menikmati rumah yang diimpikannya, Encik Nabill mahu memastikan usaha yang bermula demi keluarganya itu terus memberi makna kepada kehidupan orang lain.
“Sepanjang tempoh saya berduka kehilangan ibu, saya perlu mencari diri saya semula.
“Tujuan utama saya sekarang adalah membantu orang seperti saya mencapai impian mereka, menjalani kehidupan yang lebih baik dan memastikan orang lain tidak perlu melalui apa yang saya lalui,” katanya.
Pengalaman membesar dalam keluarga berpendapatan rendah turut mendorong Encik Nabill memastikan harga produk Cheekies kekal berpatutan agar ia dapat dinikmati oleh lebih ramai pelanggan.
Berkat tekad dan usahanya, Berita Harian menobat Encik Nabill sebagai penerima Anugerah Jauhari Harapan 2026, dalam majlis di Four Seasons Hotel Singapore, pada 6 November.
Anugerah itu mengiktiraf individu berusia 30 tahun ke bawah yang mempunyai semangat untuk mencapai kejayaan dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
Dengan anugerah itu, Encik Nabill menerima piala dan wang tunai $3,000 dalam acara yang menyaksikan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, sebagai tetamu terhormat.
Anugerah Jauhari BH 2026 dianjurkan oleh BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Anugerah ini turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja bersama, manakala AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) bertindak sebagai rakan masyarakat.
Melalui usaha gigih tanpa henti – yang sering kali menuntut beliau menguruskan perniagaan hingga lewat malam sambil membahagikan masa antara kerjaya pemasaran korporat dengan pengajian universiti secara sambilan – Encik Nabill berjaya meningkatkan skala Cheekies menjadi sebuah perusahaan komersial.
Kini, perniagaan tersebut berkembang pesat dan beroperasi dari beberapa dapur profesional serta sebuah gudang, dengan kapasiti pengeluaran mencecah sehingga 500 kilogram daging siap perap setiap minggu.
Perniagaan yang bermula di ruang kecil flat sewa dan dijadikan tempat penyediaan produk serta penyimpanan bekalan, kini telah banyak berubah.
Encik Nabill turut meluaskan perniagaannya di Malaysia melalui kerjasama dengan rakan kongsi di Johor bagi mengeluarkan produknya untuk menyasarkan pasaran Malaysia.
“Lima tahun lalu, Cheekies bermula sebagai perniagaan dari rumah di sebuah flat sewa yang kecil di Tampines, menjual daging perap untuk golongan yang mementingkan kesihatan.
“Hari ini, kapasiti pengeluaran kami telah berkembang kepada dua (kemudahan) dapur di Singapura, sebuah dapur di Malaysia, serta sebuah gudang di Ubi...
“Sukar untuk membayangkan sejauh mana kita telah mendaki tangga jaya kerana pada asalnya, Cheekies ditubuhkan sekadar untuk kelangsungan hidup,” ujar beliau.
Apa yang bermula sebagai usaha demi kelangsungan hidup, ternyata Encik Nabill berjaya membawa Cheekies jauh melangkah.
“Dan jika ada satu pesanan yang saya harap dapat ditinggalkan kepada semua pada malam ini, terutama generasi muda, pesanan itu adalah: Jangan sesekali berasa malu dengan asal usul kita.
“Keadaan sekeliling mungkin mencorak permulaan hidup kita, namun perkara itu tidak semestinya menentukan masa depan kita.
“Pada akhirnya, kejayaan tidak diukur sekadar pada jumlah kekayaan yang kita kumpul, berapa banyak anugerah yang kita terima, atau sejauh manakah kita mendaki tangga kejayaan.
“Sebaliknya, kejayaan diukur melalui kehidupan yang kita sentuh dan harapan yang kita berikan kepada orang lain,” kata Encik Nabill.