
IMPIAN menjadi kenyataan.
Encik Ronneth Hock, 45 tahun, tidak sangka beliau dapat kembali menjejakkan kaki di Singapura tahun ini dan bertemu bersama keluarga di Hari Natal.
"Paling akhir saya dapat bertemu dengan keluarga dan teman-teman di Singapura ialah Januari tahun lalu semasa perayaan Tahun Baru Cina.
"Tidak disangka ia akan mengambil masa hampir dua tahun sebelum saya boleh pulang semula," kata Encik Hock.
Encik Hock telah bertugas di Bangkok, Thailand sebagai Pengarah Disiplin di Sekolah Antarabangsa Singapura di Bangkok (SISB) selama tujuh tahun dan sering pulang ke Singapura semasa musim cuti, sebelum pandemik Covid-19.
Setiap kali beliau tidak dapat pulang ke Singapura untuk menyambut hari perayaan bersama keluarganya, beliau berasa amat sedih dan rindu kerana berjauhan dengan mereka.
Oleh itu, beliau adalah di antara mereka yang pertama untuk bergesa-gesa mendapatkan tiket penerbangan pulang ke Singapura bila penjualan tiket penerbangan menerusi laluan perjalanan bagi yang sudah menjalani vaksinasi (VTL) dibenarkan.
"Bukan saya saja yang bertindak secara pantas. Ramai lagi orang Singapura yang saya kenali juga tergesa-gesa untuk mendapatkan tiket penerbangan dengan secepat mungkin.
"Kami khuatir bahawa adanya lagi kes meningkat yang akan menjejas rancangan kami untuk pulang ke Singapura," kata Encik Hock.
Namun demikian, persiapan untuk penerbangan pulang mempunyai banyak langkah yang agak rumit sebelum beliau boleh mendapatkan pelepasan imigresen Thailand dan Singapura.
Ia termasuk permohonon Pas Thailand, pembelian insurans Covid-19 dan juga pendaftaran untuk mengambil ujian Covid-19 sedia ada.
"Banyak masa dan wang yang perlu digunakan untuk memenuhi langkah-langkah protokol kedua-dua negara.
"Saya berasa bernasib baik kerana dapat juga pulang ke Singapura sebelum sekatan diumumkan dan penggantungan jualan tiket penerbangan dikuatkuasakan lagi seperti yang diumumkan Rabu lalu," tambahnya, yang menganggarkan sudah berbelanja dalam lingkungan $2,000.
Walaupun Encik Hock akan berada di Singapura hanya untuk 10 hari, beliau berasa gembira kerana berpeluang untuk merasakan kehidupan di Singapura sekali lagi.
"Tiba sahaja di Singapura, saya menarik nafas panjang untuk menikmati udara Singapura.
"Mendengar cara unik orang Singapura berbual dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil membuat saya berasa amat terharu.
"Kepulangan saya ke Singapura ini adalah hadiah Hari Natal buat diri saya.
"Kini, saya boleh lafazkan: 'I'll be home for Christmas!'(saya boleh pulang ke rumah untuk menyambut Hari Natal)," kata Encik Hock dengan gembira.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg