Sekitar 280 kilogram hasil makanan yang diimport secara haram telah dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 12 dan 13 September.
Barangan yang tidak diisytiharkan dan kurang diisytiharkan itu termasuk kacang panjang, peria, bendi dan bawang putih yang telah dikupas daripada dua pengimport, kata Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan bersama pada 17 September.
Hasil makanan itu ditemui dalam dua lori dalam operasi bersama yang menyasarkan lori penghantaran yang mengedarkan barangan tersebut terus kepada kedai runcit dan pelanggan. Kedua-dua lori itu dirujuk kepada SFA untuk pemeriksaan selepas pegawai ICA di pusat pemeriksaan mendapati terdapat percanggahan dalam konsainan mereka.
Siasatan masih dijalankan.
Hasil dan produk makanan yang diimport secara haram daripada sumber yang tidak diketahui boleh mengundang risiko keselamatan makanan, dan semua hasil makanan yang tidak diisytiharkan dan kurang diisytiharkan akan dirampas.
Di Singapura, makanan hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen, dan mesti diisytiharkan serta disertakan dengan permit import yang sah.
Mereka yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran segar secara haram boleh didenda sehingga $10,000, dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang membawa masuk buah-buahan dan sayur-sayuran yang diproses secara haram pula boleh didenda sehingga $1,000 pada sabitan pertama, dan sehingga $2,000 untuk sabitan berikutnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg