Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndeks Projek Keadilan Dunia 2026: S’pura negara terbaik dari segi ketenteraman, keselamatan
Indeks Projek Keadilan Dunia 2026: S’pura negara terbaik dari segi ketenteraman, keselamatan
Singapura juga mencapai tempat kedua di dunia bagi ketiadaan rasuah, belakang Denmark.
Indeks Projek Keadilan Dunia 2026: S’pura negara terbaik dari segi ketenteraman, keselamatan
Singapura menduduki tempat pertama bagi kategori ketenteraman dan keselamatan, menurut satu indeks yang diterbitkan oleh Projek Keadilan Dunia (WJP), sebuah kumpulan advokasi bebas yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Negara ini juga berjaya mempertahankan kedudukan tempat kedua di dunia bagi kategori ketiadaan rasuah pada 2026 – belakang Denmark – buat dua tahun berturut-turut sejak 2025.
Secara keseluruhan, Singapura naik dua anak tangga ke kedudukan ke-14 daripada 143 negara dalam penarafan global mengenai kekuatan kedaulatan undang-undang bagi 2026.
Dalam satu kenyataan pada 21 Oktober, WJP menyatakan bahawa Singapura merupakan antara sebilangan kecil negara yang mencatatkan peningkatan skor indeks kedaulatan undang-undang pada 2026
Badan tersebut menyatakan: “Autoritarianisme bukan lagi sekadar trend yang baru muncul—ia telah berakar umbi.
“Lebih 86 peratus negara telah mengalami kemerosotan berterusan selama lima tahun dalam sekurang-kurangnya satu aspek perlindungan terhadap pemerintahan autoritarian, iaitu: kekangan terhadap kuasa pemerintah, keterbukaan pemerintah, atau hak-hak asasi.
“Ini tidak termasuk Singapura.”
Ia menambah bahawa dalam sistem keadilan jenayah mahupun sivil, tekanan dan campur tangan yang tidak wajar daripada pihak eksekutif telah menjadi punca utama kemerosotan institusi.
“Keadilan sivil merosot di 64 peratus negara, manakala keadilan jenayah merosot di 58 peratus negara, dengan pengaruh pemerintah yang tidak wajar muncul sebagai faktor utama dalam kedua-dua bidang tersebut.
“Badan kehakiman juga semakin kehilangan pengaruh berikutan tindakan pihak eksekutif yang melampaui batas kuasa mereka: kekangan terhadap kuasa pemerintah oleh badan kehakiman telah berkurangan di 63 peratus negara. Ini tidak termasuk Singapura,” jelas WJP.
Ia turut menyatakan bahawa kebebasan yang penting bagi ruang sivik, perdebatan awam, dan pengawasan terhadap pemerintah semakin menyusut di kebanyakan negara, termasuk di Singapura.
Indeks tersebut, yang diterbitkan setiap tahun sejak 2009, menggunakan data daripada lebih 215,000 tinjauan isi rumah serta 3,400 tinjauan dalam kalangan pengamal undang-undang dan pakar, bagi mengukur bagaimana kedaulatan undang-undang dialami dan dipersepsikan di seluruh dunia.
WJP mentakrifkan kedaulatan undang-undang sebagai satu sistem undang-undang, institusi, norma, dan komitmen masyarakat yang kukuh, yang menjamin akauntabiliti, undang-undang yang adil, keterbukaan pemerintah, serta sistem keadilan yang saksama dan mudah diakses.
Indeks ini diukur berdasarkan lapan faktor utama: kekangan terhadap kuasa pemerintah, ketiadaan rasuah, keterbukaan pemerintah, hak-hak asasi, ketenteraman dan keselamatan, penguatkuasaan peraturan, keadilan sivil, serta keadilan jenayah.
Negara yang menduduki kedudukan teratas bagi 2026 ialah Denmark, diikuti dengan Norway, Finland, Sweden, dan Luxembourg.
Negara dengan skor terendah ialah Venezuela, diikuti dengan Afghanistan, Haiti, Kemboja, dan Nicaragua.
Dari segi rantau, Singapura menduduki tempat ketiga secara keseluruhan dalam kalangan 15 negara di Asia Timur dan Pasifik, selepas New Zealand dan Australia.
