Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia pulih bekalan gas asli ke S’pura pada 12 Nov
Indonesia pulih bekalan gas asli ke S’pura pada 12 Nov
Indonesia telah memulihkan bekalan gas asli ke Singapura sepenuhnya pada 12 November, kata Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) pada 20 November.
“Buat masa ini, tiada lagi notis pengurangan bekalan,” kata seorang jurucakap kementerian.
Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura pada 24 Oktober, dengan alasan keperluan dalam negeri.
Seorang pegawai Indonesia berkata negara itu akan mengurangkan eksport gas asli sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD).
Pengurangan itu melalui dua saluran paip yang menghubungkan medan gas Natuna dan Sumatera terus ke Singapura.
Pengawal selia minyak dan gas Indonesia, SKK Migas, mengumumkan bahawa bekalan itu dialihkan untuk penjanaan elektrik di Batam, Bintan dan Sumatera.
Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura kemudian berkata berdasarkan maklumat daripada pengimport gas asli di sini, jumlah pengurangan ialah 17 BBTUD sepanjang 18 hari.
Ini kurang daripada 2 peratus keperluan gas asli negara. Jumlah permintaan gas harian Singapura melebihi 1,000 BBTUD.
Pengimport yang terjejas, Gas Supply, dimiliki sepenuhnya oleh Temasek. Syarikat itu mengimport gas dari medan gas di Sumatera.
The Straits Times (ST) telah menghubungi Gas Supply untuk mendapatkan ulasan sama ada sebarang kewajipan kontrak dilanggar sepanjang pemotongan 18 hari itu.
Sebelum ini, pengimport itu berkata penghantaran gas kepada pelanggan di sini terjejas akibat “pengurangan sementara” bekalan.
Syarikat itu juga berkata ia berhubung terus dengan pelanggan yang terjejas.
Sebagai respons kepada pemotongan gas itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pada 25 Oktober bahawa Singapura menjangkakan semua pihak menunaikan komitmen kontrak mereka.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, pula berkata pada 29 Oktober bahawa Indonesia tidak melanggar perjanjian.
Beliau berkata penghantaran yang dikurangkan masih melebihi had bekalan minimum yang ditetapkan dalam kontrak sedia ada.
Kontrak bekalan gas sedia ada antara Indonesia dengan Singapura berlangsung sehingga akhir 2028.