Parlimen mesti memutuskan “tanpa lengah yang tidak perlu” sama ada Encik Pritam Singh sesuai untuk terus menjadi Ketua Pembangkang kerana kelakuan dan sabitan beliau disebabkan berbohong akan memberi kesan langsung kepada Parlimen, kata Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah.
Parlimen tidak boleh menunggu Parti Pekerja (WP) untuk membuat keputusan sama ada Encik Pritam melanggar Perlembagaan parti itu susulan sabitan beliau di mahkamah, kata Cik Indranee dalam mengemukakan satu usul pada 14 Januari.
“Dewan ini mesti memutuskan perkara ini tanpa lengah yang tidak perlu, kerana ia mencerminkan kedudukan dan integriti Parlimen,” kata beliau.
Encik Pritam telah disabitkan kesalahan di mahkamah daerah kerana berbohong di bawah sumpah ketika memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) – satu penghakiman yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Beliau juga didapati oleh jawatankuasa itu telah membimbing bekas Anggota Parlimen (AP) partinya, Cik Raeesah Khan, untuk meneruskan pembohongan yang diberitahu di Parlimen.
Cik Indranee menekankan bahawa apabila seorang AP berbohong kepada Parlimen atau di hadapan jawatankuasanya, ia bukan sekadar kesilapan peribadi atau salah pertimbangan taktikal.
“Ia menjejas kepercayaan rakyat Singapura terhadap kita, serta tanggungjawab serius kita kepada orang yang kita berkhidmat.
“Ia menjejas piawaian integriti dan keutuhan tinggi yang menjadikan sistem Singapura berfungsi, dan yang mana Singapura dikenali,” tambah beliau.
Keputusan sama ada Encik Pritam meneruskan jawatan Ketua Pembangkang terletak pada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan bukan Parlimen, kata beliau.
“Walau bagaimanapun, AP berhak, dan saya akan berhujah mempunyai kewajipan untuk, menyatakan pandangan tentang kesesuaian Encik Pritam untuk meneruskan peranan itu,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg