MENTERI Kedua Kewangan merangkap Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, hari ini mengumumkan bahawa pemerintah telah memberi sokongan kewangan lebih $16 bilion kepada rakyat dan syarikat Singapura sehingga Mei ini.
Menyatakan demikian dalam satu catatan panjang dalam Facebooknya hari ini, Cik Indranee berkata, bantuan itu telah diberikan di bawah tiga Belanjawan - Perpaduan, Daya Tahan dan Kesepakatan - yang kesemua pakej bantuan ini berjumlah $60 bilion.
"Kami baru sahaja melengkapkan minggu ke-5 langkah pemutus rantaian, melintasi tanda pertengahan.
"Keutamaan pertama kami adalah melindungi orang ramai dari segi kesihatan terhadap Covid-19, dan memastikan mereka yang dijangkiti, termasuk pekerja asing, mendapat penjagaan terbaik untuk membantu mereka pulih.
Dengan aktiviti ekonomi yang semakin perlahan, keutamaan utama kami yang lain adalah memastikan individu, keluarga dan perniagaan disokong sepanjang masa yang sukar ini," katanya.
Terang beliau, antara bulan Mac dan Mei 2020, pemerintah telah menghulur bantuan bernilai lebih $16 bilion di bawah ketiga-tiga pembentangan belanjawan sebelum ini.
Ia termasuk, menyediakan $7 bilion di bawah Skim Sokongan Pekerjaan bagi membantu syarikat mengekalkan dan membayar gaji pekerja tempatan, dengan $4b lagi akan dibayar pada bulan Mei.
"Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih dan terima kasih kepada syarikat-syarikat yang tidak memerlukan wang kerana mendermakannya kepada badan amal atau mengembalikannya sehingga dapat digunakan untuk tujuan lain yang baik," katanya.
Selain itu, pemerintah juga membantu lebih $2.5 bilion dalam bentuk rebat Cukai Harta, rebat Cukai Pendapatan Korporat dan rebat serta penepian Levi Pekerja Asing selain menunda kutipan cukai pendapatan ke atas syarikat dan orang yang bekerja sendiri untuk membantu aliran tunai.
Pemerintah juga telah memberi bantuan $2 bilion kepada individu dan isi rumah untuk perbelanjaan harian, termasuk Bayaran Solidariti $600 kepada semua orang dewasa Singapura, dan rebat GST-U-Save dan S&CC kepada isi rumah yang layak.
Peruntukan berjumlah $200 juta juga disediakan di bawah Dana Bantuan Sementara - bantuan tunai sekali bernilai $500 kepada sekitar 450,000 orang yang memerlukan bantuan kewangan segera kerana Covid-19.
Pada bulan Mei ini, pemerintah juga akan membayar $300 juta untuk tahap pembayaran automatik pertama di bawah Skim Bantuan Pendapatan Orang Bekerja Sendiri (SIRS).
Ini katanya, akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 orang yang bekerja sendiri.
Geran Sokongan Covid-19 juga kini tersedia bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, cuti tanpa gaji wajib, atau mengalami penurunan gaji yang ketara sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut.
Pemberian ini memberikan sokongan sehingga $800 sebulan selama 3 bulan.
Kesemua ini ujarnya, adalah tambahan daripada skim sedia ada seperti Skim Bantuan Kewangan (FAS) MOE dan ComCare, yang juga telah ditingkatkan dalam tempoh ini, dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada sekitar 45,000 pelajar dan 40,000 isi rumah.
"Mengagihkan $16 bilion dalam jangka masa kurang dari tiga bulan tidak pernah terjadi sebelumnya tetapi diperlukan pada masa-masa luar biasa ini untuk membantu mengurangkan kesan Covid-19.
"Ini mungkin berlaku kerana pengurusan kewangan awam yang berhemah dan kekuatan rizab kami yang telah dibuat secara bijaksana dan tekun selama bertahun-tahun selama ini," kata Cik Indranee lagi.
Tempoh pelaksanaan pemutus rantaian jangkitan akan berakhir dalam masa 3 minggu lagi, pada 1 Jun ini.
"Apabila ia berakhir, kita akan muncul ke dunia yang berubah. Walaupun beberapa perkara yang dilakukan pada masa lalu akan tetap diteruskan, cara kita hidup dan bekerja pasti akan berubah.
"Kita semua harus menyesuaikan diri dan menyesuaikan diri. Kerajaan akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk membolehkan peralihan," kata beliau.
Tambahnya, sekarang adalah adalah masa bagi pemerintah dan rakyat untuk bekerjasama bagi membina semula ekonomi dan memperkukuhkan masyarakat.
"Bersama-sama, kita akan muncul lebih kuat," katanya mengakhiri catatan beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg