Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indranee sangkal dakwaan perbelanjaan awam tidak berhemat

Oct 4, 2022 | 5:30 AM
CIK INDRANEE RAJAH
CIK INDRANEE RAJAH -

PEMERINTAH telah menyangkal dakwaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, dalam usul penangguhan mengenai pengawasan lebih teliti terhadap perbelanjaan awam.

Encik Leong, anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP), telah menuduh pihak pemerintah tidak berhemat dari segi fiskal dan perbelanjaan awam tidak diurus dengan baik dalam sidang Parlimen semalam.

Beliau berkata tingkah laku pemerintah dalam tawaran komersial berpotensi membazirkan wang pembayar cukai sebanyak $2.4 bilion.

Encik Leong memberikan contoh peruntukan pemerintah sehingga $900 juta bagi membiayai operasi media SPH Media Trust sepanjang lima tahun yang akan datang harus dipersoalkan.

"Para pemegang saham Singapore Press Holdings (SPH) sepatutnya meninggalkan bahagian yang lebih besar daripada aset hartanah SPH untuk menyokong perniagaan media cetak di bawah SPH Media Trust.

"Tetapi hanya $110 juta wang tunai dan saham telah ditinggalkan kepada SPH Media Trust untuk membiayai perniagaan media yang merugikan, dan pembayar cukai yang harus membayar bil pada jangka masa hadapan," ujar beliau.

Beliau juga memberikan contoh Hab Sukan Singapura dan menyatakan kos $1.2 bilion tanggungan kewangan tertunggak yang didedahkan oleh pihak pemerintah adalah terlalu tinggi.

"Saya menganggarkan jumlah pinjaman terkumpul sebanyak $920 juta dan jumlah rizab terkumpul sebanyak $320 juta.

"Oleh itu, pihak pemerintah hanya perlu membayar perbezaan antara dua jumlah iaitu $600 juta, sebagai tanggungan kewangan tertunggak kepada SportsHub Pte Ltd (SHPL).

"Angka $600 juta ini jauh lebih rendah daripada $1.2 bilion yang dipersetujui pihak pemerintah untuk membayar SHPL," ujar beliau, yang memberikan perkiraan berdasarkan andaian dan anggaran beliau.

Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah, membidas dakwaan Encik Leong dan menyatakan bahawa tuduhan itu tidak mempunyai asas kerana telah berkali-kali dijelaskan dalam sesi-sesi parlimen sebelumnya.

"Apa yang beliau lakukan hari ini adalah untuk mengambil angka-angka tertentu daripada sumber-sumber awam dan kemudian menggunakannya sebagai satu kesimpulan," kata Cik Indranee, yang menjelaskan keperluan untuk mengekalkan dan membangunkan media berita tempatan dan memastikan bahawa Singapura mempunyai sumber berita dan maklumat yang boleh dipercayai oleh rakyat Singapura.

Beliau juga menerangkan bahawa langkah pemerintah mengambil alih pemilikan dan pengurusan Hab Sukan akan membolehkan SportSG merealisasikan potensi Hab Sukan sepenuhnya bagi Singapura.

"Seperti yang diterangkan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, pendekatan membatalkan perjanjian perkongsian awam-swastanya (PPP) bagi Hab Sukan Singapura dan bagaimana Singapura boleh manfaat darinya.

"Risiko pembinaan telah ditanggung oleh konsortium itu dan kita tidak perlu menanggung kos kelewatan pembinaan, kecacatan seperti kebocoran bumbung dan kualiti bunyi dan ini telah membebaskan sumber kewangan semasa krisis kewangan global," kata Cik Indranee, menerangkan bayaran penamatan $1.5 bilion kepada SHPL.

Cik Indranee turut menyatakan bahawa pemerintah mempunyai struktur bagi memeriksa diri mereka dengan ketat dan berulang kali dan telah berhati-hati membina rizab dan sumber-sumber Singapura untuk warga Singapura.

"Pemerintah baru sahaja mengemudikan rakyat dan negara dengan selamat melalui pandemik yang paling dahsyat dalam generasi ini tanpa meminjam wang seperti pemerintah-pemerintah lain.

"Ini berlaku bukan secara kebetulan, tetapi kerana kami telah secara konsisten berhati-hati dan berhemah dengan dana awam walaupun terdapat panggilan yang berulang-ulang oleh pihak pembangkang untuk kurangkan simpanan dan lebih banyak menggunakan rizab," ujar beliau, yang menyatakan pemerintah akan terus mengamalkan sikap berhemat dalam perbelanjaan menggunakan dana awam dan bertindak seperti biasa demi kepentingan rakyat dan negara Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg