
DI tengah-tengah cabaran yang dihadapi industri pengangkutan kelautan Singapura, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, melancarkan Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025 yang melakar rancangan bagi mempergiat pembangunan modal insan dan inovasi demi memanfaatkan peluang pertumbuhan.
Antara matlamat utamanya ialah membangunkan Pelabuhan Tuas sebagai pelabuhan terminal kontena beroperasi secara automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia.
Sedang industri kelautan dirombak, sektor pengangkutan kelautan merancang mewujudkan 1,000 pekerjaan bagi warga tempatan menjelang 2025.
Permintaan bagi peranan baru, termasuk dalam analitik data, sains data, kejuruteraan Internet Benda (Internet of Things, atau IoT), kejuruteraan sofwe dan pengurusan kemampanan, dijangka meningkat.
Enck Heng berkata demikian di acara Minggu Kelautan Singapura (SMW) anjuran Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA) yang dirasmikan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands semalam.
ITM sektor pengangkutan kelautan menetapkan matlamat mengembangkan nilai tambah sektor itu sebanyak $2 bilion atau kadar purata pertumbuhan 2-3 peratus setahun antara 2020 dengan 2025.
"Cita-cita utama kami termasuk membangunkan Pelabuhan Tuas menjadi pelabuhan terminal kontena di dunia yang terbesar yang beroperasi secara automatik sepenuhnya; meluaskan sistem eko pusat kelautan antarabangsa di sini; memupuk sistem eko permulaan MarineTech, dan mewujudkan 1,000 pekerjaan tempatan yang baik,'' ujar Encik Heng.
Bagi merealisasikan rancangan itu, Jawatankuasa Transformasi Tiga Pihak Industri Maritim dibentuk meerangkumi syarikat, kesatuan sekerja, dan agensi pemerintah.
ITM Pengangkutan Kelautan dilancarkan pada 2018 dengan banyak kemajuan dicapai, termasuk meningkatkan produktiviti dan pendigitalan dalam sektor itu. Terminal Pasir Panjang bagi tahap tiga dan empat juga beroperasi sepenuhnya, dengan tambahan keupayaan menguruskan 15 juta kontena unit bersamaan 20 kaki (TEU).
Menggariskan cabaran yang dihadapi sektor itu, beliau berkata konflik antara Russia dengan Ukraine telah menganggu sektor itu, dengan lebih seratus kapal tersadai di pelabuhan Laut Hitam, dan beberapa kapal rosak akibat konflik itu.
Semasa itu dalam ucapannya di majlis perasmian SMW 2022 semalam, Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, berkata sektor kelautan menghadapi cabaran lain dari segi keupayaan, tenaga manusia dan pelepasan karbon.
"Untuk berjaya dalam transformasi sektor kelautan, kita mesti memberi tumpuan pada tiga elemen penting, iaitu: inovasi berterusan, kerjasama tanpa sempadan dan pembangunan bakat yang kukuh.
"Usaha ini memerlukan perkongsian rentas negara, dan pastinya antara sektor awam dan swasta. dan saya harap SMW tahun ini boleh berfungsi sebagai wadah berharga," katanya.
Sepanjang minggu ini, SMW 2022 akan menyaksikan lebih 20 acara, termasuk 10 yang diterajui MPA, terdiri daripada pelbagai forum dan persidangan yang berlangsung dalam gabungan format dalam talian dan hibrid.
Ia juga disertai lebih 10 pertubuhan antarabangsa dan lebih 100 penceramah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg