Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Industri kenderaan elektrik meningkat di S’pura, buka peluang kerjaya baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Industri kenderaan elektrik meningkat di S’pura, buka peluang kerjaya baru

Dec 18, 2023 | 06:51 PM



Misi mencapai kemampanan mendorong Encik Dave Wong, 27 tahun, gigih bekerja dengan syarikat mobliti elektrik, EVCo.

Beliau menggunakan analitik data dan papan pemuka khas untuk membantu pelanggan lebih memahami impak beralih daripada kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV) dari segi penjimatan kos, mengoptimumkan penggunaan dan mengurangkan emisi.

Penganalisis kemampanan dan sistem digital itu menyifatkan apa yang dilakukannya sebagai suatu tugas bervisi yang mendorongnya beralih ke bidang itu pada Julai 2022.

“Matlamat saya adalah mewujudkan impak yang boleh diukur, agar pelanggan kami sedar impak iklim yang mereka tinggalkan dan kami tahu syarikat kami dapat membuat perubahan melalui mereka,” kata Encik Wong, yang pernah bekerja sebagai penganalisis perniagaan dalam teknologi keselamatan.

Rakan sekerjanya, Encik Muhammad Hanafi Omar, yang baru mula bekerja di EVCo pada September sebagai jurutera mobiliti, juga mendapati aspek kelestarian dalam industri EV amat menarik.

“Ia satu industri yang kian berkembang, mesra alam dan lebih hijau,” ujar Encik Hanafi, yang menyelenggarakan van elektrik dengan menggunakan peralatan diagnostik sebelum menyerahkannya kepada pelanggan.

Encik Hanafi, 37 tahun, yang masih menjalani latihan, menghabiskan 14 tahun pertama dalam kerjayanya memeriksa kenderaan dengan enjin biasa. Akibatnya, badannya sering diselaputi minyak diesel atau petrol selepas bekerja sehari suntuk.

Walaupun gajinya sama seperti sebelumnya, beliau tertarik dengan pekerjaan itu kerana persekitaran kerja yang lebih bersih, jenis kenderaan yang baru dan peluang meraih kemahiran baru.

Pekerjaan dan kemahiran baru seperti yang dimiliki Encik Hanafi dan Encik Wong semakin diperlukan dalam industri automotif Singapura ekoran permintaan EV yang meningkat.







Jumlah kereta elektrik yang ada di jalan raya Singapura pada hujung November 68.2 peratus lebih tinggi daripada jumlah pada hujung 2022.

Walaupun jumlah November yang sebanyak 10,983 masih merangkumi hanya 1.7 peratus daripada jumlah kereta Singapura, pengalihan kepada EV sememangnya tidak boleh dielakkan.

Di bawah Pelan Hijau Singapura 2030, semua pendaftaran kereta dan teksi baru selepas 2030 wajib bermodel tenaga yang lebih bersih seperti elektrik, hibrid atau kereta ‘cell’ berbahan api hidrogen.

Menurut hasil kajian Perancangan Perubahan Pekerjaan (JTM) bagi sektor pengangkutan darat, pengalihan kepada EV akan menjadi proses yang beransur sepanjang lima hingga 20 tahun yang akan datang, kata Cik Safrah Eusoof, pengarah bagi penjagaan kesihatan, sosial dan perkhidmatan perniagaan di Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).

Beliau mengemukakan bahawa perkhidmatan set kemahiran umum bagi kenderaan ICE, seperti kerja badan, tayar dan sistem brek, akan kekal relevan untuk pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan EV.

Namun, beberapa kemahiran lain seperti pengurusan inventori, penjadualan penyelenggaraan dan pemeliharaan sistem transmisi kereta yang membantu enjin menggerakkan roda, akan menjadi kurang relevan.

Kemahiran baru yang akan menjadi semakin penting adalah dalam bidang seperti diagnostik papan pemuka EV, penyelenggaraan sistem voltan tinggi kereta dan penggantian bahagian elektrik seperti bateri, menurut beliau.

Perbezaan utama antara kenderaan elektrik (EV) dengan kenderaan bermotor pembakaran dalaman (ICE) adalah EV tidak mempunyai enjin dan tidak memerlukan pertukaran minyak secara berkala atau penggantian alat yang haus seperti palam pencucuh.

EV beroperasi menggunakan motor yang dikuasai bateri dan mempunyai sistem elektrik dan elektronik yang lebih kompleks.

Presiden Persatuan Bengkel Motor Singapura (SMWA), Encik Francis Lim, menekankan bahawa pengetahuan tentang keselamatan sangat penting bagi teknisyen yang mengendalikan kenderaan elektrik (EV).

“Ia adalah soal hidup dan mati apabila berurusan dengan kenderaan voltan tinggi,” katanya. 

Beberapa pemain dalam industri memberitahu The Straits Times tentang pencarian mereka untuk mencari bakat dan set kemahiran baru.


Pengedar Hyundai, Komoco Motors, merancang untuk mengambil purata enam hingga lapan pakar EV setiap tahun selama lima tahun melalui program diploma kerja-belajar selama 2½ tahun yang ditawarkan kepada lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), menurut jurucakap Komoco Selepas-Jualan.

Syarikat itu telah membuka pusat servis EV di Jalan Alexandra pada September 2022.

EVCo, yang kini mempunyai kira-kira 30 kakitangan, sedang aktif mencari pekerja berbakat dalam bidang automotif, teknologi dan pembangunan perniagaan, kata ketua pegawai eksekutifnya, Encik Fuji Foo.

Meskipun syarikat tidak mempunyai sumber tenaga kerja yang sedia ada dengan kemahiran yang diperlukan, seperti pemasaran di samping kemampanan, kakitangan diberikan latihan di tempat kerja atau mengikuti kursus bersama pembekal atau rakan kongsi, beliau menjelaskan. Sebagai contoh, Encik Wong kini mengikuti program pertukaran kerjaya untuk karyawan kemampanan.

Encik Foo berkata: “Individu yang kami cari harus bersikap terbuka dalam menerima set kemahiran dan teknologi baru ini.”







Syarikat pengendali teksi, ComfortDelGro, sedang meningkatkan kemahiran kakitangan sedia ada dan bertujuan untuk melatih semua teknisyen mereka dalam mengendalikan kenderaan voltan tinggi menjelang 2025.

Jurucakap syarikat tidak menyatakan jumlah bilangan teknisyen semasa, tetapi beliau menyebut bahawa 20 peratus daripada mereka sudah dilatih.

Ini memandangkan syarikat mengendalikan kira-kira 170 teksi elektrik di sini.

“Kami tidak menjangkakan pengurangan dalam jumlah tenaga kerja keseluruhan,” tambah jurucakap tersebut.

Namun bagaimanapun, beberapa pekerjaan di bengkel motor tradisional mungkin akan berkurangan seiring dengan peningkatan penggunaan EV. 

Menurut Encik Lim dari SMWA, EV memerlukan penyelenggaraan dan penggantian komponen yang lebih rendah berbanding dengan kenderaan ICE.

Selain itu, pembelian EV kini biasanya termasuk dengan jaminan kilang yang berlangsung selama lapan hingga 10 tahun. Ini bermakna pemilik tidak perlu mengunjungi bengkel bebas untuk pembaikan.

“Kami menjangka akan ada penggabungan bengkel bebas secara semula jadi dengan bertambahnya bilangan EV yang meningkat dari masa ke masa, dan ini akan menyebabkan kehilangan pekerjaan,” kata Encik Lim.

Terdapat 2,000 bengkel dan 8,000 teknisyen kenderaan di mana mereka boleh memperoleh pendapatan bulanan sekitar $2,000 hingga $5,000.

Ini juga bergantung pada pengalaman dan set kemahiran mereka. Persatuan ini mewakili kira-kira 520 anggota, di mana 5 peratus daripada mereka memberi perkhidmatan kepada EV.

Namun begitu, mereka terus berusaha untuk melatih tenaga kerja dalam bidang EV. Pada 2022, Akademi Latihan SMWA bertujuan melatih sekurang-kurangnya 1,000 teknisyen bengkel automotif dalam tempoh tiga tahun untuk penyelenggaraan EV.

Encik Lim menyatakan bahawa mereka telah melatih kira-kira 200 teknisyen setakat ini.

Ini merupakan salah satu daripada kira-kira 20 organisasi yang bersetuju pada Mei 2022 untuk membina peluang latihan bagi teknisyen automotif. Ini termasuk latihan dalam mengendalikan sistem voltan tinggi dengan selamat, serta kemahiran dalam mengesan dan mendiagnosis masalah elektrik. 

Antara organisasi lain termasuk ComfortDelGro Engineering, Komoco, serta pengeluar kereta elektrik BYD Singapore dan Tesla Motors Singapore.

Bagi individu yang ingin bekerja dengan selamat dalam bidang EV boleh mengambil sijil Keselamatan Pakar EV Kebangsaan (Ness) yang dilancarkan pada 2022. Program ini mengajar kemahiran dan pengetahuan asas tentang keselamatan sistem voltan tinggi, serta pengenalan asas kepada EV. 

Sejak memperkenalkan kursus Ness kepada orang ramai pada November 2022, ITE telah melatih lebih daripada 250 individu. Menurut Encik Seng Chin Chye, pengarah sekolah kejuruteraan di ITE Kolej Barat. Beliau menyifatkan jumlah pendaftaran sebagai ‘sangat menggalakkan’.

Selain itu, Akademi Kejuruteraan ComfortDelGro telah melatih 260 individu sejak November 2022. 

Ini termasuk teknisyen automotif, pengurus bengkel, jurutera, pegawai perkhidmatan pelanggan, peminat dan pemilik EV, serta kakitangan penjualan kenderaan. 

Terdapat program latihan bagi pekerja yang berminat dalam EV. Ini termasuk Program Pertukaran Kerjaya bagi Karyawan Kemampanan (Pakar EV) yang fokus pada penyelenggaraan EV.

Selain itu, terdapat juga program lain yang ditawarkan. Ini termasuk kursus Pensijilan untuk Pakar Peralatan Pengecas EV. Kursus peringkat pertengahan ini ditujukan untuk mereka yang terlibat dalam pemasangan dan penyelenggaraan stesen pengecasan EV.

Pelajar Nitec dan Nitec Lanjutan kini mendapat sijil Ness selepas mereka berjaya menyelesaikan penilaian yang relevan dalam modul elektif mereka mengenai keselamatan voltan tinggi dengan kenderaan hibrid dan elektrik.

Seorang pelajar tahun kedua, Lim Boon Pin, yang sedang mengambil kursus Nitec dalam teknologi automotif, berhasrat membuka bengkel automotifnya sendiri pada masa depan. Dia mula berminat dalam industri EV pada 2023 setelah memahami potensinya.

“Saya berharap dapat menyumbang kepada perkembangan industri automobil dan memberi impak positif terhadap alam sekitar dan masyarakat,” katanya.

Remaja berusia 18 tahun itu memilih kursus ini kerana minatnya terhadap kereta sejak kecil.

Beliau ingin mengikuti jejak langkah bapanya, Encik Lim Cheow Ghim, 46 tahun, yang telah bekerja sebagai teknisyen automotif selama kira-kira 25 tahun.

Encik Lim Cheow Ghim berkata beliau menyukai pekerjaannya kerana ia membolehkannya menggunakan kemahiran dan pengetahuan mekaniknya pada pelbagai jenis kenderaan.

“Saya mendapati ia mencabar dan memuaskan untuk menyelesaikan masalah dan memastikan prestasi kenderaan pada tahap optimal,’ katanya, sambil menambah bahawa beliau juga sedang mempertimbangkan untuk menjadi pakar EV.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >