Melihat teknologi canggih menerusi skrin mungkin mengagumkan, tetapi menyaksikannya sendiri di depan mata memberikan pengalaman yang berbeza.

Pengalaman menaiki kereta tanpa pemandu dan melihat pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) merupakan antara pendedahan yang diperoleh oleh sekumpulan pelajar.

Mereka merupakan peserta yang menyertai Lawatan Pembelajaran Luar Negara sulung anjuran Yayasan Mendaki ke Shenzhen dan Guangzhou, China, dari 12 hingga 16 Oktober lalu.

Bagi Nur Eiliyah Mohamad Rizal, 18 tahun, pelajar Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektrik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, lawatan ke kilang pengeluar kenderaan elektrik GAC AION merupakan antara pengalaman paling menarik sepanjang lawatan tersebut.

“Saya sangat kagum apabila dapat melihat sendiri bagaimana kenderaan elektrik dihasilkan.

“Pengalaman ini memberi saya pemahaman lebih mendalam tentang kaitan antara apa yang dipelajari di sekolah dengan industri,” katanya.

Eiliyah merupakan antara 17 pelajar Melayu/Islam daripada institusi pengajian tinggi (IHL) yang menyertai lawatan tersebut.

Antara pelajar Melayu/Islam daripada institusi pengajian tinggi (IHL) yang menyertai lawatan bersama Mendaki (dari kiri) Muhammad Adib Putra Muhammad Hanis, Nur Eiliyah Mohamad Rizal, Akif Danish Aidi, Dian Firzanah Mohammad Azlan, Nur Alya Asyikin dan Adil Hadi Zulkhairil, serta mentor mereka, Encik Mustaffa Kamal.
Antara pelajar Melayu/Islam daripada institusi pengajian tinggi (IHL) yang menyertai lawatan bersama Mendaki (dari kiri) Muhammad Adib Putra Muhammad Hanis, Nur Eiliyah Mohamad Rizal, Akif Danish Aidi, Dian Firzanah Mohammad Azlan, Nur Alya Asyikin dan Adil Hadi Zulkhairil, serta mentor mereka, Encik Mustaffa Kamal. - Foto ihsan NUR EILIYAH MOHAMAD RIZAL

Sementara itu, Eian Durrani Muhammad ‘Akashah, 19 tahun, pelajar Pengurusan Keselamatan Infokom di Politeknik Republic, tertarik dengan sesi dialog bersama golongan karyawan industri di Sino-Singapore Guangzhou Knowledge City (SSGKC).

Menurutnya, sesi tersebut membuka matanya kepada peluang kerjaya di luar negara serta kepentingan untuk terus mengikuti perkembangan teknologi baharu.

Peserta lawatan pembelajaran Mendaki ke China, (dari kiri) Fatin Batrisyia Mohd Haniff, Nur Farisha Erika Muhammad Farhan, Eian Durrani Muhammad ‘Akashah, Nur Eiliyah Mohamad Rizal dan Nur Alya Asyikin, di Lapangan Terbang Changi sebelum berlepas ke China.
Peserta lawatan pembelajaran Mendaki ke China, (dari kiri) Fatin Batrisyia Mohd Haniff, Nur Farisha Erika Muhammad Farhan, Eian Durrani Muhammad ‘Akashah, Nur Eiliyah Mohamad Rizal dan Nur Alya Asyikin, di Lapangan Terbang Changi sebelum berlepas ke China. - Foto ihsan EIAN DURRANI MUHAMMAD ‘AKASHAH

Seorang lagi peserta, Muhammad Arjuna Indrawan Mizly Mohammad Fadzly, 19 tahun, pelajar Kejuruteraan Rapid Transit di ITE Kolej Barat, pula tertarik dengan kepelbagaian inovasi yang dibangunkan oleh gergasi teknologi Huawei.

Antara yang menarik perhatiannya adalah penggunaan sistem teknologi canggih dalam sektor seperti perlombongan dan marin, yang menunjukkan bagaimana inovasi boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa idea sekecil mana pun boleh membawa perubahan besar kepada masyarakat jika kita berani mencubanya,” katanya.

Lawatan itu turut mengukuhkan minat Arjuna untuk mendalami bidang pertahanan kecerdasan buatan (AI) pada masa hadapan.

Muhammad Arjuna Indrawan Mizly Mohammad Fadzly berpeluang menikmati pengalaman menaiki pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) semasa lawatan ke Yingwu Intelligent Technology di China.
Muhammad Arjuna Indrawan Mizly Mohammad Fadzly berpeluang menikmati pengalaman menaiki pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) semasa lawatan ke Yingwu Intelligent Technology di China. - Foto ihsan MUHAMMAD ARJUNA INDRAWAN MIZLY MOHAMMAD FADZLY

Menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, pendedahan antarabangsa seperti ini penting untuk meluaskan minda belia serta membina keyakinan mereka agar mampu bersaing di peringkat sejagat.

Lawatan tersebut juga merupakan sebahagian usaha Mendaki untuk membantu belia memahami perkembangan teknologi dan mengenal pasti peluang yang mungkin tersedia dalam ekonomi masa hadapan.

Sebagai langkah seterusnya, Mendaki merancang untuk meluaskan inisiatif tersebut ke Jakarta, Indonesia, pada hujung 2026.

Mendaki menyasarkan untuk membawa kira-kira 1,500 belia menyertai lawatan pembelajaran ke destinasi serantau dalam tempoh tiga tahun.

“

“Saya sangat kagum apabila dapat melihat sendiri bagaimana kenderaan elektrik dihasilkan. Pengalaman ini memberi saya pemahaman lebih mendalam tentang kaitan antara apa yang dipelajari di sekolah dengan industri.”
Nur Eiliyah Mohamad Rizal, pelajar Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektrik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur yang telah menyertai Lawatan Pembelajaran Luar Negara bersama Mendaki ke China.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti