
SUDAH menjadi amalan penduduk setempat untuk membuang sampah ke dalam tong-tong yang disediakan di merata tempat.
Tidak kira di taman awam, kolong blok mahu pun di sekolah dan pejabat, ada sahaja tong-tong disediakan untuk orang ramai membuang sampah bagi mengelakkan masalah membuang sembarangan.
Namun berapa ramai daripada kita yang sedar akan tong sampah berwarna biru yang disediakan bagi tujuan mengitar semula?
Tahukah kita apa yang sepatutnya dibuang ke dalam tong sampah berwarna biru itu?
Dan apakah kesannya sekiranya terdapat pencemaran makanan atau sisa cecair yang dibuang ke dalam tong sampah tersebut?
40% sampah yang dibuang ke tong biru tidak boleh dikitar Satu tinjauan oleh Agensi Sekitaran Nasional (NEA) menunjukkan bahawa sekitar 40 peratus sampah yang dibuang ke dalam tong sampah berwarna biru itu tidak boleh dikitar semula akibat pencemaran makanan, sisa cecair, sisa elektronik dan barangan yang boleh diderma seperti pakaian lama dan mainan. Sekitar 72 peratus isi rumah pula tidak menyedari bahawa barangan yang boleh dikitar semula tidak perlu disusun mengikut jenis sebelum dimasukkan ke dalam tong-tong biru atau tong kitar semula. Malah penduduk juga didapati kurang sedar akan apa yang tidak boleh dimasukkan ke dalam tong biru kitar semula berbanding apa yang boleh dimasukkan. Antaranya hampir separuh yang ditinjau tidak sedar bahawa mainan anak patung dan bahan Styrofoam tidak boleh dikitar semula apabila dimasukkan ke dalam tong biru kitar semula.
Ramai yang tinggal di hartanah privet mempunyai salah tanggapan bahawa kipas berdiri, bulb lampu, dan pakaian lama boleh dikitar semula dan dimasukkan ke dalam tong biru kitar semula. Sementara penduduk flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di blok yang mempunyai saluran membuang sampah kitar semula kurang sedar bahawa botol gelas juga boleh dikitar semula menerusi saluran kitar semula. Ini berbanding penduduk yang tinggal dalam kawasan perumahan yang mempunyai tong-tong biru kitar semula. Tong biru kitar semula disediakan Pengumpul Sisa Awam di bawah Program Pengitaran Semula Nasional dan diperkenalkan pada 2007 di mana sebuah tong kitar semula diletakkan di setiap lima blok HDB. Pada 2011, sebuah tong kitar semula bagi setiap blok HDB dan rumah privet telah disediakan bagi menjadikan pengitaran semula lebih mudah buat penduduk. Sejak 2014, pembangunan baru HDB telah dibina dengan dua saluran - satu untuk sisa dan satu lagi bagi pengitaran semula.
Berikut antara barangan terbuang yang sepatutnya tidak dibuang dalam tong biru kitar semula
Salah tanggapan mengenai kitar semula
Di sebalik semua langkah untuk menyedarkan orang ramai, masih terdapat sesetengah penduduk yang beranggapan bahawa usaha-usaha di bawah ini merupakan langkah mengitar semula:
(a) Menggunakan semula beg-beg plastik untuk membuang sisa.
(b) Menggunakan semula kertas atau bahan plastik untuk kegunaaan kraftangan.
(c) Dermakan barangan yang tidak diperlukan seperti mainan anak patung atau pakaian.
Meskipun semua usaha di atas merupakan amalan baik yang boleh didukung, adalah penting untuk membaiki salah tanggapan ini untuk memperbaiki kesedaran orang ramai mengenai usaha mengitar semula dan bagi memastikan bahan-bahan ini dimanfaatkan. Dalam emelnya kepada Berita Harian (BH), Pengarah Divisyen Kemampanan NEA, Encik Christopher Tan, berkata sisa kertas yang boleh dikitar semula merupakan bahan yang biasa dikutip daripada tong kitar semula. "Bahan tercemar yang biasa dikesan dalam tong kitar semula termasuk sisa makanan dan cecair, barangan terbuang seperti kertas tisu, plastik terbuang (seperti cawan plastik, dan straw). "Barangan lain termasuk yang tidak boleh dikitar semula seperti kad SIM telefon, kotak rokok, Styrofoam, karpet, lampin kotor dan jubin yang pecah," katanya lagi.
Dibawakan oleh:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg