GOLONGAN warga emas kini boleh meraih kemahiran menggunakan wadah e-pembayaran, seperti PayNow dan kod SGQR, dalam cara yang seronok dan interaktif menerusi satu inisiatif baru.
Inisiatif Perjalanan Pembelajaran e-Pembayaran di bawah Program Go Digital Warga Emas itu, yang diperkenalkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Pejabat Digital SG (SDO), membolehkan mereka belajar menggunakan e-pembayaran melalui demonstrasi dan latihan amali.
Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik S. Iswaran, hadir di satu sesi Perjalanan Pembelajaran e-Pembayaran di Kelab Masyarakat Teck Ghee hari ini di mana warga emas dibantu duta digital yang mengajar mereka memuat turun aplikasi seperti SGQR dan bank yang menyokong PayNow, dan membeli barang di satu reruai simulasi menggunakan wadah e-pembayaran tersebut.
Teck Ghee CC itu juga merupakan antara lebih 30 hab masyarakat Digital SG serata negara di mana warga emas boleh belajar kemahiran seperti menggunakan telefon bimbit bijak untuk berkomunikasi dalam talian dan mengakses khidmat digital pemerintah.
Encik Iswaran berkata lagi 25 hab masyarakat Digital SG akan ditubuh di perpustakaan seluruh negara bagi menyediakan ruang fizikal dalam masyarakat bagi warga emas mendapatkan nasihat digital dan menyertai kegiatan digital.
"Hab digital ini akan menjadi tempat penting dalam model digital nasional kami. Terdapat pelbagai kegiatan yang dilancarkan, contohnya perjalanan pembelajaran digital ini di mana mereka mendapat alat dan latihan, dan kemudian mengamalkannya.
"Mereka boleh menggunakan kemahiran dengan pergi ke kedai simulasi yang ada di sini, dan seterusnya pergi ke pusat kejiranan dan pusat penjaja untuk menggunakannya," kata beliau.
Dalam pada itu, IMDA dan SDO berkata mereka akan mencapai sasaran untuk mendekati dan mempertingkat kemahiran 100,000 warga emas menjelang Mac 2021 di bawah Program Go Digital Warga Emas.
Sejauh ini, lebih 16,000 warga emas telah meraih manfaat daripada program itu sejak ia dilancarkan pada Mei lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg