Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif baru Gerakan SalamSG dilancar untuk suntik nafas baru pada program masjid

Apr 2, 2022 | 12:49 PM
Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

SATU inisiatif baru untuk memberi nafas segar pada program masjid dan menghimpunkan masyarakat Islam dalam menghidupkan semula nilai-nilai kerohanian dalam hidup mereka, baik di ruang fizikal atau maya dilancarkan pada Sabtu (2 April).

Dikenali sebagai Gerakan SalamSG (SSGM), ia bertujuan merapatkan amalan keagamaan di dalam talian dan juga di masjid sedang Singapura bergerak ke arah fasa endemik untuk mengharungi hidup dengan Covid-19, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Sabtu (2 April), di ambang sambutan 1 Ramadan pada Ahad (3 April).

Dengan Covid-19 melanda, lebih ramai warga Islam di Singapura mula menghadam kandungan keagamaan dalam talian manakala ramai lagi berharap dapat menjalankan ibadah di masjid dalam sekitaran selamat.

SSGM menjalinkan dua aspek ini dan bertekad menggalak perubahan sikap dalam masyarakat Islam dalam norma baru, kata Muis.

Kegiatan boleh diteruskan secara hibrid, dengan platform dalam talian membolehkan lebih ramai jemaah didekati dan membolehkan mereka menyertai acara yang diadakan buat segenap lapisan masyarakat, tambah Muis.

SSGM dilancarkan di Masjid Mujahidin oleh Dr Mohamad Maliki Osman, yang merupakan Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri Kedua Ehwal Luar. Gerakan ini diusahakan bersama Muis dan pihak masjid.

SSGM akan menyelaras pelbagai program masjid dan menguar-uarkannya dalam talian di laman Muslim.SG pada pautan https://www.muslim.sg/salamsg

Pada tahun pertama ia dilaksanakan, SSGM akan mempunyai tema "Suburkan Salam. Sebarkan Rahmah"

Kekata 'Salam' itu dipilih kerana ia membawa pesanan positif dan optimisme, tambah Muis.

"Beberapa tahun sudah amat mencabar bagi masyarakat Islam dan kita berupaya menyesuaikan diri secara baik dengan menggunakan platform dalam talian bagi membolehkan masyarakat Islam agar terus mengamalkan agama...Tahun ini saya rasa kita boleh menantikan masa untuk pembukaan semula (kegiatan masjid)," kata Dr Maliki di acara itu.

"Kita mahu capai sinergi antara aspek fizikal dan dalam talian dan ini bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh sehari. Gerakan ini mengenal pasti peluang baru di samping menyediakan peluang buat sukarelawan kita agar terus mendekati kededua platform," tambahnya.

Pelancaran pada Sabtu menampilkan bacaan Quran yang dibuat secara hibrid dengan bacaan di ruang masjid berkumandang disusuli satu lagi bacaan yang dibuat dalam talian.

Sebuah reruai yang mengajar warga emas cara menggunakan alat digital bagi mengemudi aplikasi dan laman MuslimSG serta bagaimana membayar zakat dalam talian turut tersedia di acara pelancaran.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kegiatan Ramadan, Pengurus Masjid An-Nur, Ustaz Bahrul Ulum Buang, berkata:

"Dengan berada dalam talian, pihak masjid kini berharap dapat mendekati seberapa ramai jemaah yang mampu dan memberi ruang buat mereka yang tidak dapat berkunjung ke masjid (kerana sakit atau urusan tugas sebagai contoh), peluang mempelajari tentang Islam dan Ramadan mengikut kesesuaian masa terluang mereka, lantas menjadikan pengalaman Ramadan tahun ini lebih peribadi dan bermakna."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg