LEBIH 700 syarikat pemula atau start-up kini boleh memanfaatkan satu inisiatif baru menjalin hubungan dengan syarikat sejagat, bekerjasama dan mencari peluang pelaburan dalam usaha merangsang landskap syarikat pemula di Singapura.

Rangkaian Pelaburan LaunchPad (Link) yang dilancarkan agensi pembangunan perindustrian JTC semalam akan menawarkan wadah untuk syarikat tersebut berada di LaunchPad di One North dan Daerah Inovasi Jurong supaya dapat bekerjasama dengan rakan kongsi korporat.

Ia bertujuan untuk merintis jalan bagi peluang pelaburan, kegiatan penyelidikan bersama dan pembangunan, dengan syarikat pemula diharap dapat berkembang menerusi rangkaian korporat serantau dan global.

Lapan syarikat korporat telah menyertai Link selaku anggota perintis rangkaian tersebut.

Ia termasuk sayap inovasi Hyundai Motor Group, Hyundai Cradle; sayap usaha korporat PSA International, PSA unboXed; peniaga pertanian kebudayaan, Louis Dreyfus Company (LDC); aplikasi Grab; dan firma dalam talian pengguna Sea Limited.

Sektor yang menyaksikan pertumbuhan terbesar, seperti makanan pertanian, logistik, mobiliti bandar dan kemampanan, telah dikenal pasti sebagai bidang utama kerjasama antara syarikat pemula dan korporat.

Rangkaian itu merupakan sebahagian daripada usaha JTC untuk memanfaatkan kedudukannya sebagai pemaju estet dan hubungannya dengan industri utama bagi memberikan syarikat pemula LaunchPad rangsangan dalam pertumbuhan mereka serta peluang pasaran dan pendanaan.

Ia bertujuan sebagai usaha memudahkan hubungan berstruktur antara syarikat pemula dan rakan kongsi korporat.

Mengumumkan pelancaran rangkaian itu di Fiesta Teknologi LaunchPad JTC di One-North semalam, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menggalakkan lebih ramai syarikat korporat menyertai rangkaian tersebut.

"Dengan lebih 700 syarikat pemula dalam ekosistem erat yang berterusan mempromosikan keusahawanan dan inovasi, terdapat banyak peluang untuk pelabur dan korporat sedia ada mencari saranan nilai menarik di tengah-tengah syarikat pemula ini," katanya.

Lapan syarikat korporat yang telah menyertai rangkaian itu telah secara bersama melaburkan lebih AS$23 juta ($32 juta) dalam syarikat pemula yang berpangkalan di Singapura untuk membangunkan huraian baru sepanjang tiga tahun lalu.