Topik diikuti
Pergi ke BHkuInisiatif Bas 4.0 SMRT manfaatkan automasi, AI bagi tingkat operasi, keandalan khidmat
Inisiatif transformasi yang telan belanja $6j ini bertujuan mengenal pasti risiko lebih awal, selaras respons lebih pantas serta campur tangan awal sebelum sesuatu isu jejas penumpang
Ekosistem pengangkutan awam di bawah SMRT Buses kini akan menggunakan lebih banyak automasi, dengan bas yang dikendalikan syarikat itu dipantau dalam masa nyata melalui pusat kawalan operasi berpusat di Depoh Bas Gali Batu yang baru di Sungei Kadut.
Ini dapat dicapai menyusuli pelaksanaan inisiatif transformasi Bas 4.0, yang berteraskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), kata SMRT Buses dalam satu kenyataan pada 28 Ogos.
Anak syarikat SMRT Corporation Ltd itu berkata inisiatif transformasi yang menelan belanja $6 juta itu bertujuan mengenal pasti risiko lebih awal, menyelaraskan respons secara lebih pantas dan usaha campur tangan awal sebelum sesuatu isu menjejas penumpang.
Ia menambah bahawa Pusat Kawalan Operasi Pintar (iOCC) itu menjadi nadi yang memantau lebih 75 perkhidmatan bas dan sekitar 1,200 bas yang dikendalikan oleh SMRT Buses – salah satu pengendali pengangkutan bas awam utama di sini selain SBS Transit, Tower Transit dan Go-Ahead Singapore.
Menukil laman rasmi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), SMRT Buses menguruskan tiga pakej di bawah model kontrak bas LTA buat masa ini yang meliputi pengendalian bas di Woodlands, Choa Chu Kang-Bukit Panjang dan Jurong West.
Model kontrak bas itu diperkenalkan LTA pada September 2016, yang menyaksikan perkhidmatan bas dikelompokkan dalam 14 pakej mengikut kawasan geografi.
Mulai Jun 2027, SMRT Buses akan mengendalikan pakej Serangoon-Eunos – membawa jumlah pakej yang dikendalikan SMRT Buses kepada empat daripada 14 pakej keseluruhan.
Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, telah mengadakan lawatan ke iOCC di Depoh Bas Gali Batu sempena acara perasmian Bus 4.0 pada 28 Ogos. Ia dihadiri antara lain pengurusan kanan SMRT dan wakil gerakan pekerja.
Acara itu menyaksikan Encik Siow meninjau teknologi, peralatan dan pendekatan yang diguna pakai SMRT Buses di bawah inisiatif Bus 4.0.
Ia antara lain merangkumi teknologi seperti perakam data bijak dalam bas di bawah pendekatan iBUS, penggunaan robot pemantauan autonomi di tempat letak bas depoh di bawah pendekatan iDepot, dan latihan bagi pemandu bas menerusi realiti maya (VR) di bawah pendekatan iWorkforce.
Beliau turut meninjau iOCC bagi melihat sistem pemantauan dipacu AI yang diguna pakai dalam bilik gerakan dengan lebih dekat.
Pusat operasi itu menempatkan pengawal perkhidmatan atau service controller di bawah satu bumbung bagi memudahkan usaha penyelarasan.
Sebelum ini, pengawal sedemikian beroperasi di depoh berbeza seperti di Depoh Bas Soon Lee di Jurong West dan Depoh Bas Woodlands.
Pengerusi SMRT Corporation Ltd, Encik Seah Moon Ming, berkata pengawal perkhidmatan kini menggalas peranan yang telah berkembang dengan iOCC, sejajar dengan penerapan sistem dipacu AI yang diguna pakai dalam pusat operasi.
Mengulas berkenaan Bas 4.0, beliau berkata proses transformasi bermula awal 2024 dengan pemasangan telematik, atau alat pengolahan data, di semua bas.
Dengan pemasangan alat sedemikian, beliau berkata langkah seterusnya adalah untuk menyepadukan data yang diperoleh kepada kakitangan dalam bilik operasi.
Lebih daripada sekadar menyepadukan data, sama penting adalah bagaimana data ini diketengahkan agar pengawal perkhidmatan dapat mengambil tindakan proaktif berbanding reaktif semata-mata, ujarnya.
Ketika berucap, Encik Seah berkata: “Dari iOCC, pengawal perkhidmatan kami mempunyai pandangan menyeluruh rangkaian (bas) secara lebih luas dan jelas.
“Sistem yang dipacu AI kami akan memaklumkan mereka tentang isu-isu tertentu, konflik atau masalah yang boleh berlaku, dan situasi yang memerlukan sesuatu tindakan.”
Oleh demikian, beliau berkata pengawal perkhidmatan ini dapat bertindak seumpama ‘mata kedua’ pemandu bas dan mengenal pasti sesebuah isu awal sebelum ia menjejas keselesaan penumpang.
Ini sekali gus memastikan perjalanan lebih selamat, perkhidmatan yang boleh dipercayai dan jangka respons lebih pantas, tambahnya.
Memandangkan peranan yang digalas pengawal perkhidmatan telah berkembang, Encik Seah berkata setiap daripada mereka akan menerima elaun kemahiran sebanyak $160 sebulan, yang dibiayai bersama SMRT Buses dan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Ini dijangka memanfaatkan sekitar 50 pengawal perkhidmatan.
Sehubungan itu, pasukan operasi SMRT Buses dan syarikat STRIDES – yang menguruskan panel pengiklanan digital SMRT dan operasi teksi serta kenderaan sewa privet (PHV) – akan turut ditempatkan di iOCC, kata SMRT Buses.
SMRT Buses menambah bahawa langkah ini akan membolehkan kedua-dua syarikat mengerahkan sumber dengan lebih pantas dan cekap jika berlakunya sebarang gangguan.
Semasa gangguan kereta api misalnya, iOCC akan bertindak sebagai bilik gerakan tunggal, dengan maklumat berhubung gangguan boleh dipaparkan pada panel pengiklanan untuk memberitahu penumpang pilihan pengangkutan alternatif, antara lain.
Sekilas antara ciri-ciri yang dilaksana di bawah inisiatif Bas 4.0:
Robot pengawasan autonomi
Robot berkaki empat ini berkeliaran di tempat letak bas Depoh Bas Gali Batu untuk mengimbas suhu titik pengecasan apabila bas elektrik dicas dengan menggunakan sensor inframerah. Jika ada sebarang kejanggalan atau kenaikan mendadak pada suhu titik pengecasan, robot akan memberikan notifikasi kepada pengendali. Ini bagi mengelakkan sebarang kebakaran daripada berlaku. Ia juga berfungsi sebagai peranti yang merakam nombor pendaftaran bas, demi membantu pemandu mencari sebuah bas secara lebih berkesan.
Sistem kekang keletihan pemandu
Sistem kamera yang dipacu AI dapat kesan jika pemandu menunjukkan tanda-tanda keletihan. Sistem ini akan memaklumkan pengawal perkhidmatan, yang akan menghubungi pemandu bas untuk memeriksa keadaannya. Sekiranya pemandu bas dikesan beberapa kali kerana menunjukkan tanda keletihan, pengawal perkhidmatan akan meminta pemandu bas memberhentikan bas dan melakukan beberapa senaman atau menamatkan tugasan seharian untuk berehat sejurus tiba di tempat pertukaran bas.
Kamera kesan pesalah guna lorong bas
Kamera dipacu AI dengan keupayaan analitik video dipasang pada bas untuk mengesan kesalahan kenderaan yang memasuki lorong bas sewaktu tempoh operasi laluan bas. Sistem ini merakam butiran penting seperti nombor kenderaan, lokasi, waktu dan bukti sokongan.
Sistem AI pantau jarak antara bas semasa operasi
AI memantau lokasi, kelajuan dan tempoh jeda bas menggunakan pelbagai sumber data. Apabila sistem mengesan dua atau lebih bas tiba bakal di perhentian bas secara serentak, ia secara automatik akan memaklumkan pengawal perkhidmatan dan mengesyorkan cadangan paling sesuai. Pengawal perkhidmatan dapat menasihatkan pemandu bas untuk menyesuaikan kelajuan bas dan mengekalkan jarak lebih tetap antara bas.
Latihan memandu secara maya
Pemandu bas memandu bas menggunakan alat realiti maya (VR) sebagai latihan, yang dapat memberikan senario mencabar dalam persekitaran yang selamat dan terkawal. Latihan ini memberi gambaran keadaan jalan raya, lalu lintas dan cuaca berbeza. Ini termasuk situasi berisiko tinggi yang sukar dicipta semula semasa latihan di jalan raya. Ia juga membantu jurulatih menilai prestasi pemandu bas secara objektif dan mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
