Topik diikuti
Pergi ke BHkuInisiatif bina kemahiran digital lancar akademi bagi pelajar, karyawan
Inisiatif bina kemahiran digital lancar akademi bagi pelajar, karyawan
Inisiatif bina kemahiran digital lancar akademi bagi pelajar, karyawan
MEREKA yang berminat untuk meneroka bidang teknologi realiti lanjutan (XR) yang kian berkembang pesat kini berpeluang untuk membina kemahiran dan keupayaan mereka dengan pelancaran Akademi Pembelajaran Imersif Meta (MILA) baru.
Akademi itu dibuka untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan teknologi realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR), hingga mereka yang lebih berkemahiran.
Yang pertama dibuka di rantau ini, akademi itu merupakan sebahagian daripada beberapa inisiatif peningkatan kemahiran digital baru di bawah program 'Upskill with Meta' bagi tahun ini.
Untuk menandakan pelancaran inisiatif itu semalam, Meta juga menganjurkan perbincangan panel peribadi mengenai topik Peningkatan Kemahiran dan Pendigitalan, dengan tetamu terhormat, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo.
'Upskill', yang merupakan inisiatif latihan terbesar Meta di Singapura, dilancarkan tahun lalu dan disasarkan kepada para pelajar, mereka yang sedang mencari pekerjaan, mereka yang berkerjaya, ahli akademik dan perniagaan.
Dikenali sebagai 'Upskill with Facebook Singapore' sebelum ini, inisiatif itu disokong oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Enterprise Singapore (ESG) dan Industri Digital Singapura (DISG).
Sehubungan itu, menerusi program Upskill yang diperluaskan ini, sebuah program pembelajaran baru dalam kejuruteraan perisian juga akan diperkenalkan.
Ia dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin melancarkan kerjaya mereka dalam bidang itu, seperti sebagai pengembang, atau developer, iOS dan Android atau jurutera pangkalan data.
"Pelajar akan dibimbing setiap langkah untuk memastikan mereka menguasai kemahiran teras mengikut kadar pembelajaran mereka sendiri.
"Mereka juga akan membina pengalaman semasa bekerja melalui projek 'hands-on' yang akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan seterusnya," kata firma teknologi itu dalam kenyataannya.
Di samping itu, Meta, yang merupakan syarikat induk Facebook, juga akan menyediakan sekitar 200 biasiswa untuk pelajar Singapura yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan perisian, tanpa mengira latar belakang pelajaran mereka.
Sebagai tambahan, Meta juga telah memperkenalkan wadah 'Meta Career Programs Job Board'.
Dibuka secara eksklusif untuk pekerja profesional yang diiktiraf Meta, Program Kerjaya Meta akan membantu menghubungkan mereka dengan lebih 200 majikan terkemuka di seluruh dunia yang telah komited untuk mendapatkan bakat melalui program ini.
Dalam pada itu, Meta juga akan mengemas kini kurikulum Boost yang diperkenalkan firma itu tahun lalu.
Direka untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Boost dibangunkan dengan kerjasama SGTech dan dengan sokongan daripada ESG.
Ia bertujuan untuk membantu sehingga 1,000 SME agar mereka menggunakan penyelesaian dalam talian untuk mendalami dan mengukuhkan perniagaan mereka sebagai langkah pemulihan selepas pandemik.
