PENYAKIT barah serviks, yang disebabkan oleh virus papiloma manusia atau Human Papilloma Virus (HPV), ialah barah yang ketujuh yang sering didiagnos dalam kalangan masyarakat Melayu, dan barah kelima yang paling biasa dihidapi wanita berusia antara 30 hingga 39 tahun, menurut laporan tahunan pendaftaran barah Singapura pada 2018.
Cik Siti Shariff, 45 tahun, didiagnos dengan barah serviks pada 2010 dan menceritakan bahawa beliau terkejut dan tidak dapat menerima yang beliau menghidapi penyakit tersebut apabila diberitahu doktor.
Dengan sikap positif, menjalankan rawatan serta mendengar kata doktor, Cik Siti kini telah bebas dari sel barah selama lima tahun.
"Saya menasihati orang ramai agar pergi pemeriksaan awal dan jangan segan atau malu untuk dapatkan rawatan. Lebih baik kita mencegah penyakit itu.
"Kalau sudah sakit, lebih banyak duit yang akan keluar untuk rawatan," nasihat Cik Siti sambil menekankan kepentingan menjalani pemeriksaan pap smear dan menambah bahawa ia lebih baik untuk merujuk kepada pakar mengenai penyakit ini.
Sebuah inisiatif yang diterajui Persatuan DiRaja Komanwel Singapura dilancarkan pada 11 Mei di bawah Pakatan Singapura untuk Tindakan Aktif Melawan Papillomavirus Manusia (A4HPV) dalam usaha untuk mengurangkan lalu mengikis jangkitan barah serviks.
Dr Chris Chong, penasihat teknikal perubatan untuk A4HPV, mengatakan:
"Kesedaran adalah kunci untuk pencegahan awal dan penting bagi setiap orang melindungi diri mereka melalui vaksin HPV."
Hampir semua kes barah serviks disebabkan oleh HPV, sama seperti virus selesema dan boleh menjangkiti kaum lelaki dan wanita.
HPV terutamanya dijangkiti melalui aktiviti seksual. Pemeriksaan secara berkala dapat mengesan sel pra-barah serviks kerana jangkitan HPV dapat dikesan lebih awal untuk rawatan.
Wanita berusia 25 hingga 29 tahun disyorkan untuk menjalani ujian pap smear setiap tiga tahun, dan mereka yang berumur 30 tahun ke atas harus melakukannya setiap lima tahun.
Inisiatif itu mendorong pelancaran kempen 'I AM' yang bertujuan menggalak belia Singapura membuat dan menjual hingga satu juta beg kain, yang akan diisi baucar pemeriksaan HPV dan kit maklumat mengenai HPV dan barah serviks.
Baucar saringan membolehkan lawatan sekali ke klinik terpilih.
Beg itu akan diedarkan selama 12 bulan dari bulan Julai.
Untuk setiap beg buatan tangan yang dibeli dengan harga $30, beg tambahan akan diberikan kepada masyarakat yang rentan di Rwanda di Afrika untuk menyokong perjuangan mereka melawan barah serviks.
Menurut tinjauan kesihatan populasi nasional 2019 (Lembaga Penggalakan Kesihatan) wanita berusia antara 25 hingga 29 tahun kurang cenderung untuk menjalani pemeriksaan barah serviks.
Hal ini lebih ketara terutama dalam kalangan masyarakat Melayu. Hanya 34.4% wanita melayu telah menjalani ujian pap smear dan jumlah ini lebih rendah daripada jumlah bagi wanita Cina (49.9%) dan wanita India (46.1%).
Untuk menggalak lebih ramai orang dalam masyarakat Melayu untuk menjalani pemeriksaan HPV, Persatuan DiRaja Komanwel Singapura akan menyumbangkan 1000 beg kempen mereka kepada Persatuan Muhammadiyah.
Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim berkata:
"Kempen ini tepat pada masanya untuk meningkatkan kesedaran tentang barah serviks terutama dalam kalangan wanita Melayu dan keluarga mereka.
"Kami berharap di bawah naungan wanita dan belia kami, ia dapat menjangkau kepada lebih ramai profesional wanita dan mereka yang mempunyai keluarga."
"Kempen ini tepat pada masanya untuk meningkatkan kesedaran tentang barah serviks terutama dalam kalangan wanita Melayu dan keluarga mereka. Kami berharap di bawah naungan wanita dan belia kami, ia dapat menjangkau kepada lebih ramai profesional wanita dan mereka yang mempunyai keluarga." - Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg