Terdapat beberapa inisiatif yang disediakan untuk membantu pemandu teksi dan kenderaan sewa peribadi (PHV) terus kekal berdaya saing di tengah-tengah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam sektor pengangkutan, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling.

Beliau berkata demikian dalam menjawab keprihatinan yang diutarakan beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai nasib pekerja sedang AI dan automasi terus mengubah sektor tersebut, semasa usul yang membincangkan usaha mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab pengangkutan sejagat di Parlimen pada 7 Julai.

Ia termasuk sebuah pakej peralihan tenaga kerja yang menawarkan Program Penukaran Kerjaya (CCP) Penempatan dan Latihan bagi mereka yang ingin beralih ke peranan kerja baharu, dengan sokongan gaji sehingga 90 peratus.

CCP tersebut akan dilancarkan pada suku ketiga 2026, kata Cik Sun.

Pemandu yang ingin menceburi pekerjaan dalam sektor kenderaan berautonomi (AV) boleh menyertai CCP bagi Pakar AV yang akan diperkenalkan.

Peserta akan ditawarkan pekerjaan sebelum program bermula dan menerima latihan yang disokong Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA).

Bagi yang ingin pindah ke pekerjaan pengangkutan lain, seperti pemandu bas, mereka boleh menantikan laluan baharu di bawah CCP bagi Karyawan Pengangkutan Awam.

Di samping itu, mereka yang ingin beralih ke sektor lain di luar pengangkutan boleh memanfaatkan program sedia ada yang ditawarkan SWDA.

Dalam pada itu, satu skim insentif latihan baharu akan turut dirintis mulai Januari 2027, dengan tumpuan pada kursus pendek, jelas Cik Sun.

Di bawah skim itu, pemandu yang layak akan menerima insentif latihan $20 sejam jika mereka menyertai antara lebih 2,000 kursus yang disokong SWDA, sehingga had 80 jam latihan.

“Jumlah insentif latihan ini adalah jauh lebih tinggi berbanding elaun latihan lain yang ditawarkan buat masa ini kerana kami memahami para pemandu mempunyai perbelanjaan tambahan seperti sewaan kereta yang perlu diuruskan.

“Pemandu boleh memanfaatkan insentif ini untuk memperoleh kemahiran baharu sebelum memberikan komitmen kepada program jangka panjang seperti program penukaran kerjaya,” kata beliau.

Beberapa AP telah menggesa agar sokongan lebih baik disediakan bagi pekerja sektor pengangkutan sedang AI dan automasi terus mengubah sektor pengangkutan.

Ini termasuk AP pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), yang berkata ia harus menjadi masa depan kemajuan kerjaya, di mana pekerja mempunyai peluang menjadi lebih mahir dan berdaya pengahasilan, dengan gaji dan prospek kerja lebih baik.

Dalam ucapannya, Cik Sun turut memberi jaminan pemerintah “tidak akan menerapkan penggunaan teknologi secara melulu” dan penggunaan AV akan diperkenalkan secara bertahap-tahap supaya penumpang dan pemandu dapat menyesuaikan diri.

“Tujuan utama penggunaan teknologi adalah untuk memberi manfaat kepada orang ramai – iaitu penduduk dan pekerja kita… Nilai sesuatu teknologi terletak pada masalah yang diselesaikannya dan kehidupan yang ditambah baik olehnya,” jelas Cik Sun.