PENGUASA Pengangkutan Darat (LTA) akan menyambung semula Inisiatif Perjalanan Bijak (TSJ) dan meluaskan rangkaian itu kepada lima lagi perkhidmatan bas yang memberi khidmat kepada penumpang di Laluan Timur Laut (NEL).
Inisiatif TSJ yang diperluaskan itu akan bermula pada 20 Mac. Sebelum ini, TSJ telah menjalani tempoh percubaan pada Februari 2020.
Ia akan memberi manfaat kepada penduduk di Punggol, Sengkang, Buangkok dan Hougang yang menaiki pengangkutan awam, berulang-alik ke tempat kerja di bahagian timur dan tengah Singapura.
Selain khidmat bas 43E, Khidmat Langsung ke kawasan bandar 654, 660, 666, 671 dan 672 kini akan disertakan dalam inisiatif ini.
Bagi kelayakan inisiatif ini, penumpang perlu mendaftar untuk TSJ melalui portal TransitLink SimplyGo atau aplikasi TLSimplyGo.
Mereka juga harus menggunakan pengangkutan awam sekurang-kurangnya empat hari bekerja (tidak termasuk cuti umum) di salah satu stesen NEL, misalnya Punggol, Sengkang, Buangkok atau Hougang, ataupun sebarang stesen di sepanjang laluan LRT Punggol dan Sengkang, antara 7 dan 9 pagi dalam tempoh 30 hari kalendar terakhir sebelum hari pendaftaran.
Dengan menukar kepada perkhidmatan bas 43E, 654, 660, 666, 671 atau 672 dari 7 hingga 9 pagi pada hari bekerja, penumpang yang layak akan menerima 150 mata (bersamaan dengan $1.50) setiap perjalanan apabila sampai ke destinasi mereka di Tai Seng, MacPherson, Paya Lebar, Parkway Parade, Shenton Way atau Marina Boulevard.
Para penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas ini secara tetap berpotensi untuk mengimbangi lebih daripada separuh tambang bas mereka dengan menggunakan mata yang diperoleh.
Mata itu boleh ditebus dalam blok 500 mata (bersamaan dengan $5.00) ke dalam kad perjalanan mereka.
Inisiatif yang bertujuan untuk mengedarkan waktu puncak permintaan pengangkutan awam dengan menggalakkan penumpang untuk menggunakan alternatif perjalanan.
Setelah menyemak program itu dan mengambil kira corak perjalanan sepanjang dua tahun lalu, LTA telah memutuskan meluaskan TSJ bagi menggalak lebih ramai penumpang NEL beralih kepada khidmat bas bagi perjalanan pagi mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg