Masyarakat Islam kini boleh mendapatkan akses lebih luas kepada pendidikan dan panduan dalam membuat perancangan harta pusaka, termasuk penyediaan wasiat, menurut prinsip Islam.

Ini dapat dilakukan menerusi satu inisiatif masyarakat baru, Muslim Collective, yang dilancarkan pada 22 September di Ngee Ann City.

Dibangunkan PFP Legacy, inisiatif itu bertujuan membantu masyarakat memahami dengan lebih baik perkara seperti faraid, hibah, wasiat dan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), serta bagaimana aturan tersebut boleh diselaraskan dengan prinsip Islam.

Faraid merujuk kepada hukum Islam yang menetapkan pembahagian harta pusaka seorang Muslim yang meninggal dunia kepada waris yang layak.

Hibah pula ialah pemberian secara sukarela yang boleh dibuat semasa seseorang masih hidup, tertakluk kepada keperluan undang-undang dan agama yang berkaitan.

Dalam ucapannya semasa acara pelancaran tersebut, Penasihat Muslim Collective, Encik Allawudin Mastan, berkata:

“Visi kami bukan sekadar untuk membentuk satu lagi unit perniagaan. Kami mahu membina sebuah masyarakat yang kukuh, dipercayai dan mampan, yang mana umat Islam boleh mendapatkan pengetahuan serta keyakinan untuk merancang masa depan generasi seterusnya selaras dengan agama dan prinsip panduan kita.

Penasihat Muslim Collective, Encik Awalludin Mastan, memberi ucapan semasa pelancaran inisiatif tersebut oleh PFP Legacy yang diadakan di PFP Signature Centre, Ngee Ann City pada 22 September.
Penasihat Muslim Collective, Encik Awalludin Mastan, memberi ucapan semasa pelancaran inisiatif tersebut oleh PFP Legacy yang diadakan di PFP Signature Centre, Ngee Ann City pada 22 September. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

“Kami mahu perbincangan mengenai kekayaan, legasi dan perancangan harta pusaka menjadi lebih mudah, mudah diakses dan lebih relevan kepada masyarakat Islam, sambil memanfaatkan keupayaan lebih luas dalam ekosistem SingWealth.”

PFP Legacy Singapura ialah anak syarikat SingWealth Holdings, yang menghimpunkan 13 perancang harta pusaka daripada pelbagai pasukan untuk berkongsi pengetahuan dan memberikan panduan yang disesuaikan dengan keperluan keluarga Islam.

Inisiatif Muslim Collective telah dirancang sejak 2024.

Rakan Bersekutu dalam Perancangan Legasi, Encik Mirza Abdul Latif, memberitahu Berita Harian (BH) pengalamannya di syarikat yang pernah disertainya dahulu membuatnya sedar bahawa sesetengah penyelesaian perancangan harta pusaka tidak sesuai bagi keluarga Muslim.

“Apabila saya menyertai PFP Legacy, saya menyedari terdapat peluang untuk bekerjasama dengan penasihat Muslim lain yang memahami pertimbangan khusus yang terlibat dalam perancangan legasi Islam,” katanya.

Muslim Collective kini mengambil pendekatan “pendidikan sebagai keutamaan” yang berasaskan masyarakat, dan bukan berperanan sebagai pihak berkuasa agama atau mengeluarkan hukum agama.

Seorang lagi Rakan Bersekutu dalam Perancangan Legasi, Encik Amirul Zikri Kahar, yang pernah berkhidmat dalam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), berkata kesedaran mengenai perancangan legasi Islam semakin meningkat, namun lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membantu masyarakat memahami perkara tersebut.

“Lebih banyak usaha sokongan perlu dilakukan untuk memberi pencerahan lanjut (tentang perancangan legasi) kepada masyarakat Islam secara umum, selain menyediakan penyelesaian yang mengambil kira atau mematuhi prinsip Syariah,” katanya.

Pengarah Urusan PFP Legacy, Cik Venessa Phang, turut memberitahu BH perancang harta pusaka perlu mendapatkan pensijilan dan latihan dalam aspek undang-undang berkaitan perancangan harta pusaka sebelum layak menjalankan peranan tersebut.

Beliau menambah, perancangan legasi bukan sekadar mengenai usaha mengembangkan dan melindungi kekayaan, malah turut mengambil kira “apakah yang berlaku selepas itu”.

Muslim Collective akan bekerjasama dengan pengamal bertauliah, pertubuhan masyarakat dan pakar bidang untuk menyediakan bahan pendidikan serta menggalakkan perbincangan yang lebih berdasarkan pengetahuan mengenai perancangan masa depan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti