GOLONGAN warga emas, orang kurang upaya dan keluarga yang mempunyai anak kecil boleh menjangkakan ruang jalan yang lebih selamat dan menyenangkan dalam kawasan kejiranan mereka apabila inisiatif baru dilaksana untuk memperbaiki pengalaman berjalan kaki dan berbasikal di sini.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (3 Mac) mendedahkan rancangan mewujudkan apa yang dipanggil Friendly Streets atau jalan mesra pejalan kaki.

Ia menggabungkan usaha sedia ada demi meningkatkan keselamatan pejalan kaki dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mobiliti aktif.

Di bawah inisiatif baru itu, ciri-ciri dari zon sekolah, zon perak dan koridor keutamaan transit akan digabungkan untuk menjadikan jalan, yang berhampiran dengan kemudahan utama dan nod pengangkutan, yang mempunyai bilangan tinggi pejalan kaki dengan jejak yang tinggi, lebih inklusif dan kurang kenderaan.

Ciri-ciri ini termasuk laluan pejalan kaki yang lebih luas, laluan berbasikal khusus, lintasan pejalan kaki tanpa halangan dan langkah mengurangkan lalu lintas yang bertujuan untuk memperlahankan gerakan kenderaan.

Kawasan sekitar Ang Mo Kio Street 31, yang terletak lima minit berjalan kaki dari stesen MRT Ang Mo Kio dan di sekitar Sekolah Rendah Teck Ghee dan Sekolah Menengah Deyi, merupakan antara tempat pertama inisiatif Friendly Streets akan diuji.

Inisiatif baru itu juga akan diuji di Bukit Batok West, Tampines, Toa Payoh dan West Coast sebelum ia diperhalusi dan diperluaskan ke bandar lain, kata LTA.