Syarikat Avelogic, penyedia sistem penggajian atau ‘payroll’ dan sumber manusia (HR) bagi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), telah mendapatkan semula data yang terjejas dalam insiden keselamatan siber yang berlaku baru-baru ini.

Selain itu, ia telah melantik pakar keselamatan siber bebas untuk melakukan siasatan ke atas kejadian tersebut, kata MUIS dalam satu kenyataan pada 17 September.

Insiden keselamatan siber itu menjejas 48 masjid, empat madrasah, Hab Pembelajaran Islam dan Pejabat Pengurusan (Ilham), dan Perkhidmatan Bersama Masjid-Madrasah-Wakaf (MMWSS).

“Laporan polis telah dibuat dan tiada wang tebusan yang dibayar,” jelas MUIS dalam kenyataannya.

Pada 15 September, ia telah dilaporkan bahawa sistem yang menyimpan butiran gaji dan kakitangan masjid dan madrasah yang dipantau MUIS telah digodam dan disekat fungsinya dengan tuntutan tebusan.

Sistem itu dikendalikan vendor perisian Avelogic, yang berpangkalan di Singapura.

Berdasarkan siasatan setakat ini, MUIS berkongsi bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa sejumlah besar data telah diambil daripada sistem tersebut.

Data yang disimpan dalam sistem yang terjejas itu juga tersulit sebagai lapisan perlindungan tambahan.

Di samping itu, MUIS berkata ia sedang bekerjasama dengan institusi yang terjejas bagi memastikan para pekerja terus menerima gaji mereka tepat pada masanya.

Ia menambah bahawa aturan penggajian alternatif telah pun disediakan, dan mengesyorkan bahawa tidak terdapat gangguan kepada perkhidmatan keagamaan atau yang berurusan dengan orang awam.

“Siasatan dan pemeriksaan keselamatan masih berterusan, dan sistem tersebut hanya akan beroperasi semula selepas langkah perlindungan dan pemeriksaan yang berkaitan telah selesai dijalankan.

“MUIS akan terus menyokong pertubuhan sektor masyarakat yang terjejas bagi memastikan fungsi utama sumber manusia dan penggajian berterusan tanpa sebarang gangguan,” kata MUIS dalam kenyataannya.

Dalam laporan sebelum ini, difahamkan bahawa sistem HR Avelogic itu mengandungi maklumat sensitif kakitangan di puluhan masjid dan madrasah, termasuk nama, butiran hubungan, gaji serta nombor akaun bank mereka.

Sistem itu dibekalkan kepada masjid dan madrasah oleh MMWSS, iaitu sebuah jawatankuasa di bawah naungan MUIS. Terdapat 72 masjid di Singapura.

Jawatankuasa itu mengendalikan 69 masjid dan tiga madrasah, termasuk menyediakan sistem penggajian untuk menjana slip gaji, menurut maklumat di laman webnya.

Menurut laporan awal Berita Harian (BH), makluman mengenai insiden keselamatan siber yang tertera di laman web Avelogic dikemas kini pada 14 September dan menyatakan bahawa kegiatan pengancam kali pertama dikesan pada 30 dan 31 Ogos.

Tambahnya, ia telah berjaya memulihkan semula data terkini yang dikemas kini. Ia telah menetapkan tarikh 18 September untuk memastikan sistemnya kembali beroperasi.

Avelogic telah membuat laporan polis pada 31 Ogos dan memaklumkan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC).

Ia juga telah mendapatkan khidmat firma keselamatan siber, Black Panda, untuk melaksanakan siasatan forensik bebas.

Polis mengesahkan ia menerima laporan mengenai insiden itu dan siasatan sedang berlangsung.

PDPC juga berkata ia maklum mengenai insiden itu dan sedang menyiasat insiden pencerobohan data yang dilaporkan oleh Avelogic.