Institusi Hwa Chong (HCI) telah menafikan dakwaan yang dibuat di platform media sosial Reddit bahawa pelajarnya dihukum kerana bercakap kepada pihak media mengenai makanan di kantin sekolah.
HCI berkata pada 9 Januari bahawa tiada pelajar yang dikenakan tindakan disiplin atau ditegur kerana menyuarakan pendapat mereka berhubung isu tersebut.
Hidangan yang disediakan oleh katerer penerbangan Sats untuk pelajar HCI pada hari pertama persekolahan telah mencetuskan beberapa kritikan, selepas gambar set bento itu dimuat naik dalam talian pada 3 Januari.
Satu hantaran di Reddit pada 9 Januari mendakwa bahawa sembilan orang pelajar telah diberikan mata demerit kerana bercakap kepada media mengenai pilihan makanan baru tersebut.
Turut dikongsi di Reddit ialah tangkap layar mesej yang mengingatkan pelajar supaya tidak terlibat dalam “kontroversi makanan kantin”, serta tidak menyebarkan gambar, mesej dan hantaran media sosial.
“Kita tahu apakah akibatnya,” kata mesej tersebut, sambil menambah bahawa pelajar perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa dan pihak sekolah untuk ditemu bual oleh media.
Sebagai menjawab pertanyaan, HCI berkata pihak sekolah menyedari kewujudan mesej yang dikongsi dalam satu kumpulan sembang kelas, yang “dihantar atas keprihatinan terhadap kesejahteraan pelajar kami, sambil mengingatkan pelajar supaya bertanggungjawab dalam aktiviti dalam talian mereka”.
“Peringatan tersebut tidak bertujuan untuk menghalang pelajar daripada berkongsi pandangan atau memberikan maklum balas melalui saluran yang sesuai, dan tiada pelajar yang dikenakan tindakan disiplin atau ditegur kerana menyuarakan pendapat mereka,” kata jurucakap HCI itu.
Beliau menambah pihak sekolah menghargai pandangan pelajarnya, dan menggalakkan mereka untuk berkongsi pendapat secara langsung dengan pihak sekolah supaya sebarang kebimbangan dapat ditangani secara konstruktif.
“Pihak sekolah akan terus bekerjasama secara rapat dengan para guru bagi memastikan mesej kepada pelajar disampaikan dengan jelas,” tambah beliau.
Jurucakap itu juga menambah bahawa sebarang penglibatan media yang melibatkan pelajar akan diselaraskan dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi melindungi kesejahteraan pelajar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg