Institusi Raffles merangkul kejuaraan bahas untuk membawa pulang Piala Cabaran Hawazi Daipi, selepas mereka menewaskan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah pada peringkat akhir pertandingan bahas peringkat posmenengah.
Pertandingan itu, anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), dan disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), diadakan di Mediacorp pada 17 Ogos.
Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah selaku pencadang dan Institusi Raffles selaku penyanggah bertikam lidah tentang mauduk perbahasan iaitu, ‘Sistem meritokrasi berjaya mengurangkan ketidaksamaan dalam masyarakat’.
Pasukan juara terdiri daripada Cindy Joanne Allbright, Grace Abigail Liu, Haziqah Rafiee, and Chin Megan.
Institusi Raffles, yang juga juara bagi pertandingan bahas pada 2021, menewaskan Madrasah Aljunied Al-Islamiah pada 3 Ogos di peringkat separuh akhir.
Apabila ditanya tentang perasaan mereka menjadi juara, wakil Institusi Raffles, Haziqah berkata:
“Kami sepasukan masih tidak boleh percaya bahawa kami berjaya menewaskan sekolah-sekolah lain yang hebat dalam perdebatan mereka.
“Anugerah ini bermakna untuk Institusi Raffles kerana ia menunjukkan kerjasama kami sebagai satu pasukan, termasuk guru, rakan dan ibu bapa kami yang telah memberi sokongan padu.”
Guru Kanan di Jabatan Bahasa Ibunda Institusi Raffles, Cikgu Abdul Malek Ahmad, berasa bersyukur dan gembira atas pencapaian anak muridnya.
Cikgu Abdul Malek berkata anak muridnya melakukan kajian menyeluruh bagi menyokong hujahan yang mungkin digunakan kededua pihak.
“Untuk peringkat akhir, perbincangan mereka lebih meluas sebab mauduk tidak terhad pada konteks Singapura.
“Maka, mereka perlu mengkaji sistem meritokrasi yang diguna pelbagai negara dan menyerlahkan kelemahan serta kekurangan sistem itu di negara tersebut.
“Kajian dijalankan lebih mendalam sebab mereka perlu mencari data dan bahan rujukan yang bukan sahaja bernas, malah sahih, bagi menyokong hujahan dan bidasan mereka,” terangnya.
Pasukan pemenang membawa pulang piala, trofi individu, dan baucar tunai yang disampaikan oleh tetamu terhormat, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Cik Rahayu berkata: “Saya amat gembira melihat anak-anak muda kita menggunakan bahasa Melayu dengan baik, dan juga membincangkan sesuatu isu yang amat penting kepada masyarakat kita.
“Saya rasa pertandingan ini adalah satu peluang untuk mereka mengupas topik penting dengan cara yang amat kritis, dan saya bangga melihat penggunaan bahasa Melayu dan mutu perbahasan hari ini.”
Beliau, seorang mantan pembahas, turut mengakui bahawa pertandingan bahas merupakan satu ruang penting untuk masyarakat Melayu membawa isu semasa kepada generasi muda.
Tambahnya, ini demi memberi mereka peluang untuk berfikir tentang keadaan sekeliling mereka sambil menggunakan bahasa Melayu.
Pasukan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah terdiri daripada Aiman Hazeeq Rohaizad, Nur Syafiqah Nordin, Saqina Qamilia Suwandi, and Solihin Zainal.
Meskipun tidak dapat menamatkan kemarau kejuaraan madrasah mereka yang berlangsung sejak 2005, Nur Saqina berjaya merangkul gelaran Pembahas Terbaik pada peringkat akhir perbahasan itu.
Beliau, turut dinamakan Pembahas Cemerlang bagi peringkat saringan, Pembahas Terbaik bagi peringkat separuh akhir, serta Pembahas Terbaik Keseluruhan siri bahas 4PM 2024.
“Syukur Alhamdulillah, saya telah pun dikurniakan ‘Pembahas Terbaik’ setelah tiga tahun saya berjuang dalam bidang perbahasan. Akhirnya terdapat juga hasil daripada usaha yang Madrasah Wak Tanjong menetapkan.
“Maka, anugerah ini sangat bermakna untuk saya kerana ia adalah tanda bahawa Madrasah Wak Tanjong mampu melahirkan pembahas baik dan saya dapat mengharumkan dan memartabatkan nama Madrasah Wak Tanjong,” ujar Nur Saqina.
Memberi penerangan tentang mauduk perbahasan pada 2024, Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat, berkata:
“Selaku pihak penganjur, kami memilih mauduk ini kerana ia mencabar dan mempunyai aspek sukar untuk dibincang dengan sempurna.
“Namun, kita dapat melihat kededua pihak dapat mengupaskan mauduk dan mementaskan isi yang bernas, serta menunjukkan pemikiran sangat matang.”
Menurut 4PM, Akademi Bahas diterajui dan dikendalikan sukarelawan yang sebahagian besarnya terdiri daripada mantan pembahas dan juga sukarelawan.
Menerusi pertandingan bahas, Akademi Bahas 4PM bertujuan mengembangkan pemikiran kritis secara progresif sepanjang perjalanan seorang pembahas.
Sejak 1952, Akademi Bahas 4PM telah meneroka pelbagai format perbahasan, sehingga ia telah berkembang setanding dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik semasa.
Sebanyak lapan sekolah telah menyertai pertandingan bahas peringkat posmenengah pada 2024.
Sekolah tersebut adalah Maktab Rendah Tampines Meridian, Politeknik Singapura, Politeknik Republik, Institusi Raffles, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.
Peringkat saringan diadakan pada 20 Julai di Institut Pendidikan Nasional (NIE), manakala peringkat separuh akhir diadakan pada 3 Ogos di Common Ground Civic Centre & Consultancy.
Panel penilai bagi peringkat akhir pertandingan bahas itu terdiri daripada Pensyarah di Kumpulan Akademik (AG) Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC) Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Roszalina Rawi; Pengarah Urusan Nusantara Connect Pte Ltd, Dr Mohamad Shamsuri Juhari; Editor Kanan dan Penyampai Berita Mediacorp, Encik Izwan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Cik Nurdiana Hanim Abdul Rahman; dan Pengasas dan Pengarah Eksekutif New Life Stories, Cik Saleemah Ismail.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg