Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Institut Safinah ‘berlabuh’; Pengasas Ustaz Mizi ingin teroka cabaran baru

May 31, 2024 | 2:28 PM
Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid ingin mulakan fasa baru dan menyahut cabaran baru di masa akan datang.
Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid ingin mulakan fasa baru dan menyahut cabaran baru di masa akan datang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Setelah 15 tahun berkhidmat dan mengatur pelbagai acara kerohanian di bawah naungan Institut Safinah, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi Wahid berkata Safinah – yang bermakna kapal dalam bahasa Arab – akan ‘berlabuh’ hujung bulan Mei.

Dalam hantarannya di Instagram (IG), Ustaz Mizi mengaku ini adalah satu keputusan yang sangat sukar untuknya kerana telah melalui banyak kenangan pasang surut dan suka duka selama mengendalikan Institut Safinah.

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Ustaz Mizi berkongsi bahawa keputusan yang dibuat pada waktu ini bukanlah muktamad dan berkata kegiatan Institut Safinah akan dihentikan buat ketika ini bagi memberi laluan untuknya menceburkan diri dalam projek lain.

“Ini adalah satu fasa penting untuk saya dan saya perlukan cabaran baru dan membuat sesuatu yang berlainan. Saya sudah pun mencecah 40 tahun pada 2023, jadi memang sudah masanya untuk mengorak masa depan dengan cabaran yang lain,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2009, Institut Safinah telah mengendalikan kelas agama, acara kerohanian, bengkel, persidangan dan seminar di serata Singapura dan Malaysia.

Institut yang bermula dari sebuah pejabat kecil di Tampines Street 21 itu berjaya menambat hati ramai pengikut dan dalam tempoh 15 tahun, pernah melihat jumlah peserta meningkat dari 75,000 sehingga 100,000 keseluruhannya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang pernah membantu menjayakan acara-acara kami, terutama asatizah yang pernah terlibat dan saya teruja melihat mereka telah pun menebarkan sayap mereka dan mengendalikan acara dan bengkel mereka sendiri.

“Saya anggap keputusan saya juga dapat memberi laluan kepada penganjur kerohanian yang lain untuk berkhidmat kepada masyarakat Islam setempat,” katanya.

Seorang lagi guru agama setempat, Ustazah Shameem Sultanah, berkongsi dalam ruang komen di IG itu bahawa Institut Safinah ialah yang pertama untuk mengundangnya memberi ceramah dalam bahasa Inggeris di Suntec, satu wadah berlainan daripada masjid dan tempat beribadah yang lain.

“Safinah mungkin telah menamatkan pelayarannya tetapi ombak dan riak airnya akan terus memberi kesan dan impak kepada ramai pada masa yang akan datang, insya-Allah,” katanya dalam komen itu.

Ustaz Mizi juga pernah bekerjasama dengan personaliti terkenal daripada pelbagai latar belakang seperti selebriti televisyen, penyanyi, deejay radio dan atlet sukan ke acara kerohaniannya yang menggunakan pendekatan yang berbeza demi menarik minat peserta.

Walaupun kadangkala berhadapan dengan kritikan, acara Institut Safinah berjaya menarik peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan yang belum pernah menghadiri acara keagamaan seperti itu, kata Ustaz Mizi.

Antara selebriti yang terlibat, pelakon dari seberang, Lisa Surihani, turut juga meninggalkan komen di IG itu dan mengatakan beliau berasa sedih kerana keputusan itu terasa seperti tamatnya satu era. Dalam tulisannya dalam bahasa Inggeris, Lisa berkata:

“Jazakallah Khair kepada kamu dan pasukan untuk persahabatan, kenangan, pelajaran, dialog dan pengalaman yang bermakna. Perasaan sedih kerana ini terasa seperti tamatnya satu era, tetapi saya percaya dengan penuh kesungguhan, ini adalah sebuah lembaran baru yang akan mendatangkan kebaikan.”

Buat masa ini, Ustaz Mizi berkata beliau belum bersedia mendedahkan rancangan masa depannya tetapi berkongsi beliau akan terus meneruskan kerjasama dengan syarikat korporat di sini dan luar negara untuk mengadakan latihan dan bengkel yang berunsurkan kerohanian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg