Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Institut Silang Budaya ditubuh pupuk identiti unik S'pura

Dec 14, 2020 | 5:30 AM
PERTUBUHAN BARU: Institut Silang Budaya Puan Noor Aishah akan dipimpin mantan Anggota Parlimen (AP) Wan Hussin Zoohri (kiri) dan Yatiman Yusoff (kanan), sebagai presiden dan timbalan presiden, akan memimpin pertubuhan berbilang kaum itu. - Foto-foto BM oleh KHALID BABA, fail
PERTUBUHAN BARU: Institut Silang Budaya Puan Noor Aishah akan dipimpin mantan Anggota Parlimen (AP) Wan Hussin Zoohri (kiri) dan Yatiman Yusoff (kanan), sebagai presiden dan timbalan presiden, akan memimpin pertubuhan berbilang kaum itu. - Foto-foto BM oleh KHALID BABA, fail -

SATU pertubuhan bukan pemerintah yang bertujuan memupuk identiti unik Singapura tanpa melunturkan warisan berbilang budaya rakyatnya telah ditubuhkan oleh sekumpulan bekas tokoh politik, pegawai perkhidmatan awam kanan dan penggiat seni.

Institut Silang Budaya Puan Noor Aishah (PNAICI) itu juga bertujuan mengiktiraf dan memperingati peranan penting yang dimainkan isteri Presiden pertama Singapura Yusof Ishak dalam membina rakyat berbilang bangsa yang bersatu-padu.

Mantan Anggota Parlimen (AP) Encik Wan Hussin Zoohri dan Encik Yatiman Yusoff, sebagai presiden dan timbalan presiden, akan memimpin pertubuhan berbilang kaum itu, yang turut dianggotai mantan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Kesavapany Krishnasamy, yang juga anggota majlis Pertubuhan Silang Agama (IRO) dan mantan ketua pegawai eksekutif Persatuan Rakyat (PA) Lee Chiong Giam.

Baru-baru ini, berkongsi wawasan pertubuhan itu dengan Berita Harian (BH) menjelang pelancaran rasmi pada tarikh yang akan ditentukan tidak lama lagi, Encik Wan Hussin berkata pertubuhan itu bertujuan mewujudkan budaya unik Singapura yang merangkumi kepelbagaian budaya di sini.

Ini akan dilakukan menerusi strategi tiga serampang melibatkan pendidikan, penglibatan dan pemeliharaan budaya, kata Encik Wan Hussin.

Ini termasuk dengan mengadakan seminar dan pertandingan bertema budaya, mengadakan persembahan dan memberi sokongan kepada seniman di Singapura.

Menurut Encik Wan Hussin, antara projek pertama yang sedang dirancangkan ialah untuk menerbitkan buku untuk memperingati semua penerima Anugerah Pingat Budaya - anugerah budaya tertinggi bagi seniman setempat - dan menubuhkan dana untuk memberikan bantuan kewangan kepada seniman yang memerlukan.

"Kami ingin membentuk budaya Singapura unik yang menggabungkan berbilang budaya yang ada di sini.

"Tujuan kami bukanlah untuk mengasing atau meremehkan budaya-budaya individu, tetapi untuk memperkukuh identiti negara dengan menggunakan kekuatan yang dimiliki budaya masing-masing," ujar Encik Wan Hussin, yang juga mantan presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Mengulas lebih lanjut, Encik Yatiman berkata pertubuhan ini juga bertujuan memelihara dan memajukan warisan budaya Singapura yang pelbagai dan mewah, melebihi kemajuan yang telah dicapai menerusi ekonomi.

"Singapura boleh dianggap telah mencapai kejayaan dari segi ekonomi tetapi kini kita perlu fikirkan tentang mencapai kejayaan dalam perkara yang kurang ketara atau tidak mudah dihitung, seperti memupuk budaya unik Singapura.

"Bagi saya, ini adalah satu cara untuk menyatukan rakyat dan antara cara paling baik adalah melalui cara yang tidak bersifat harta-benda, tetapi menambah persefahaman dan pergaulan antara kaum," ujar Encik Yatiman, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha parlimen kanan dan kini duta kelana Singapura ke Kenya.

Mengulas mengenai keputusan menamakan pertubuhan itu sempena Puan Noor Aishah, isteri Allahyarham Yusoff Ishak, Encik Wan Hussin berkata beliau dah ahli PNAICI yang lain ingin mengiktiraf sumbangannya sebagai 'orang kuat' yang memberi sokongan kepada presiden dalam usaha menyatukan masyarakat.

"Nama presiden pedrtama diingati melalui masjid, institut pengajian dan wajahnya menghiasi nota wang kita.

"Namun nama Puan Noor Aishah tidak selalu timbul di tempat awam dan kami ingin memastikan nama beliau tetap berkekalan juga," kata Encik Wan Hussin.

"Kami ingin membentuk budaya Singapura unik yang menggabungkan berbilang budaya yang ada di sini. Tujuan kami bukanlah untuk mengasing atau meremehkan budaya-budaya individu, tetapi untuk memperkukuh identiti negara dengan menggunakan kekuatan yang dimiliki budaya masing-masing." - Encik Wan Hussin Zoohri.

INSTITUT SILANG BUDAYA PUAN NOOR AISHAH

WAN HUSSIN ZOOHRI Presiden

YATIMAN YUSOF Timbalan Presiden

LEE CHIONG GIAM Naib Presiden Pertama

DARYANANI DANESH Naib Presiden Kedua

MUHD MAZLAN Setiausaha Agung

JASMEET SINGH Penolong Setiausaha Agung Pertama

EIGENE WANG Penolong Setiausaha Agung Kedua

ZARINA SYED YAHYA Setiausaha Kewangan

WEE MAY HUA, STELLA CLARE Penolong Setiausaha Kewangan

Anggota Majlis

AMEERALI ABDEALI DR DAVID FOOD SHAMSIAH AHMAD CHEN KIN MENG SOM SAID ONG LAY HONG K KESAVAPANY

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg