Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Intan: Benarkan perniagaan di rumah guna khidmat penghantaran pihak ketiga khas

May 5, 2020 | 5:30 AM
DR INTAN AZURA:Pemilik perniagaan di rumah boleh diminta untuk mencatat suhu badan dan melakukan pengisytiharan kesihatan setiap hari.
DR INTAN AZURA:Pemilik perniagaan di rumah boleh diminta untuk mencatat suhu badan dan melakukan pengisytiharan kesihatan setiap hari. -

BENARKAN perniagaan di rumah (HBB) untuk menggunakan khidmat syarikat penghantaran pihak ketiga khas, gesa Dr Intan Azura Mokhtar (GRC Ang Mo Kio).

Ini akan memudahkan usaha menjejak kontak, jika perlu, katanya semasa membentangkan usul penangguhannya tentang operasi HBB di tengah-tengah langkah diperketat untuk memutus rantaian jangkitan Covid-19.

Dalam ucapannya, Dr Intan berkata sepertimana syarikat makanan dan minuman (F&B) menggunakan khidmat syarikat penghantaran pihak ketiga untuk menjalankan penghantaran dan pengambilan bagi makanan dan minuman tanpa kontak, demikian juga yang diminta HBB apabila larangan ke atas mereka diperkenalkan.

"Melangkah ke depan, syarikat penghantaran pihak ketiga boleh diperuntukkan bagi kegunaan HBB, supaya terdapat pemantauan dekat ke atas siapa kakitangan penghantaran tersebut. Ini akan memudahkan usaha menjejak kontak, jika perlu," ujarnya.

Dua minggu lalu, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengesahkan kepada Berita Harian (BH) menyatakan peniaga tidak lagi boleh beroperasi semasa tempoh pemutus litar ini jika barangan perlu dihantar kepada pelanggan ke rumah.

Baru-baru ini pula, Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah akan melonggarkan beberapa langkah itu secara bertahap-tahap dalam beberapa minggu mendatang.

Ini termasuk membolehkan perniagaan seperti peniaga makanan di rumah, kedai gunting rambut dan dobi beroperasi semula mulai 12 Mei ini.

Menyoal mengapa larangan tersebut diperkenalkan, dan kemudian ditarik balik dalam masa seminggu, Dr Intan berkata ia telah menyebabkan gangguan teruk dan kesukaran kepada banyak HBB.

"Para peniaga HBB kita tidak meminta dikecualikan sekatan atau peraturan yang sedia ada. Mereka hanya meminta agar diberikan peluang yang sama untuk terus berniaga, sama seperti para peniaga runcit yang dibenarkan menggunakan khidmat penghantaran pihak ketiga, contohnya. Pada saya, ini adalah permintaan yang munasabah," ujar Dr Intan.

Mengulas saranannya dengan lanjut, beliau turut memberi beberapa saranan lain yang boleh dipertimbang pemerintah sekiranya langkah ketat masih lagi perlu ditetapkan.

Dr Intan berkata sekiranya terdapat keprihatinan atau kebimbangan mengenai kesihatan pemilik HBB sewaktu tempoh pemutus litar Covid-19 ini, pemilik HBB boleh diminta untuk mencatat suhu badan dan melakukan pengisytiharan kesihatan setiap hari.

Ini, menurutnya boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon bimbit yang boleh dibangunkan dengan mudah.

"Ini memberi jaminan kepada pelanggan dan pihak berkuasa bahawa HBB secara umum dalam keadaan kesihatan sihat dan tidak menimbulkan sebarang risiko berkaitan Covid-19," ujarnya.

Selanjutnya, Dr Intan berkongsi bahawa beberapa syarikat F&B sedang menawarkan penggunaan dapur pusat mereka kepada HBB yang berminat untuk menggunakannya.

Menerusi cara ini, pemeriksaan suhu, kesihatan dan kebersihan serta penghantaran pusat dan dipantau, boleh dilakukan dengan lebih mudah.

"Ini adalah inisiatif yang baik tetapi kami juga maklum bahawa tidak semua HBB boleh bekerja di dapur pusat atau kerja di luar rumah. Tetapi sekurang-kurangnya, ini boleh menjadi pilihan bagi beberapa HBB untuk terus beroperasi sewaktu tempoh langkah-langkah diperketat," katanya.

Namun, Dr Intan akur ini juga bermakna kos yang lebih tinggi akan ditanggung mereka yang mengendali dapur pusat tersebut.

Beliau bertanya:

"Adakah pemerintah akan mempertimbang pembiayaan bersama kos untuk menjalankan operasi dapur pusat ini untuk tempoh masa yang ditentukan supaya memberi perniagaan di rumah dan runcit terlibat sedikit masa untuk bangkit semula?"

Dalam pada itu, Encik Zainal Sapari (GRC Pasir Ris-Punggol), turut membentangkan keprihatinannya berkenaan isu HBB di mana peniaga perlu memulangkan wang kepada pelanggan sedangkan deposit yang dibayar sudah digunakan untuk membeli bahan-bahan.

Menurutnya, dalam suasana krisis Covid-19, terdapat peniaga kecil-kecilan dari rumah atau HBB yang mungkin menghadapi masalah kewangan walaupun beberapa langkah sekatan telah dilonggarkan.

"Bolehkah saya mendapat pengesahan bahawa pemilik HBB boleh memohon bagi Skim Pelepasan Pendapatan Individu Bekerja Sendiri atau SIRS jika mereka menghadapi masalah kewangan?

"Kebanyakan HBB tidak mempunyai "Kontrak Berjadual" dan tidak akan dapat memanfaatkan pelepasan di bawah Akta Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) 2020. Di sini, saya ingin membuat seruan kepada para pemilik dan pelanggan HBB, supaya berunding dengan sikap bertimbang rasa untuk mencapai satu penyelesaian yang tidak membebankan mana-mana pihak," ujarnya.

Dr Intan berkongsi beliau amat prihatin tentang nasib para peniaga kecil-kecilan di rumah kerana beliau sendiri mengalami kehidupan sebagai anak kepada ibu yang berniaga dari rumah.

"Ibu saya, seorang dari Generasi Merdeka kita, adalah seorang yang berdikari dan sering menunjukkan ketekunan.

"Sama seperti golongan Generasi Merdeka kita, peniaga-peniaga HBB kita juga menunjukkan semangat yang kental. Semangat ini harus dipupuk kerana inilah semangat yang mendorong kita membina Singapura sejak negara kita mencapai kemerdekaan," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg