Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Integriti, kebolehpercayaan institusi fatwa perlu diperkasa agar kekal relevan: Mufti

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Integriti, kebolehpercayaan institusi fatwa perlu diperkasa agar kekal relevan: Mufti

Pemeteraian MOU dengan pihak berkuasa fatwa terkenal dari Mesir dan Arab Saudi bolehkan pertukaran pandangan dan kepakaran antara negara
Feb 03, 2024 | 08:53 PM



Kewibawaan dan kebolehpercayaan institusi fatwa perlu diperkasakan agar terus relevan dalam membimbing masyarakat Islam menghadapi cabaran masa kini dan masa depan, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir pada 3 Februari.

Dalam ucapan bagi menggulung sidang dua hari, Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari 2024, di Hotel Park Royal on Beach Road, Dr Nazirudin berkata proses fatwa perlu melibatkan ramai anggota masyarakat, dan juga pakar pelbagai industri bagi mewujudkan perkongsian bersama.

Beliau memetik pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pihak berkuasa fatwa terkenal dari Mesir dan Arab Saudi pada hari pertama persidangan itu sebagai contoh perkongsiannya.


MOU pertama adalah antara Muis dengan Dar al-Ifta Al-Masriyya di Mesir, sebuah pusat penyelidikan undang-undang Islam kerajaan.

MOU kedua pula adalah antara Muis dengan Majma’ al Fiqh (Akademi Fiqh Islam Antarabangsa – IIFA), sebuah akademi yang berpangkalan di Jeddah yang terkenal dengan pendekatan progresif dalam penggubalan fatwa.

“Perkongsian ini akan membolehkan pertukaran pandangan dan kepakaran antara negara. Ia tidak bermakna kita menyatukan semua fatwa kerana perlu ada perubahan dari segi konteks.

“Tetapi kita boleh bertukar-tukar pandangan dan kepakaran serta penyelidikan yang dilakukan di institusi fatwa masing-masing,” jelas Dr Nazirudin.

Beliau juga menyatakan bahawa pelbagai isu politik, sosial, dan sejagat membawa kepada cabaran yang berbeza bagi institusi fatwa berlainan.

Mengambil Singapura sebagai contoh, Dr Nazirudin berkata negara ini semakin menua, dengan jumlah generasi warga tua semakin meningkat.

Beliau menambah bahawa harapan dan cabaran antara warga emas dengan generasi muda berbeza. Justeru, ia merupakan satu lagi pertimbangan apabila membangun fatwa.

Memberi penjelasan dari segi politik pula, Dr Nazirudin berkata perlembagaan dan undang-undang mungkin berlainan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, dengan perbezaan ini perlu diambil kira semasa mempertimbangkan fatwa.

“Di sesetengah tempat, orang Islam diberi hak dan kebebasan serta diberi akses kepada sumber pemerintah. Jadi soalan, jawapan dan panduan mungkin berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Dr Nazirudin juga mengetengahkan pendidikan umat Islam sebagai salah satu tumpuan untuk memastikan masyarakat Islam diperkasa.

“Jika kita mahukan masyarakat Islam yang yakin, berdaya tahan, dan diperkasakan melalui fatwa, kita juga mesti mengusahakan pendidikan dan kesedaran agama mereka.

“Kita tidak boleh membawa fatwa kepada orang yang tidak memahami asas-asas Islam. Jadi pada masa yang sama kita membangunkan fatwa, kita juga perlu mengembangkan pengetahuan budaya dan peradaban Islam dalam minda masyarakat Islam,” katanya.

Menyentuh tentang impak penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan media sosial, Dr Nazirudin berkata ia akan mempengaruhi cara masyarakat Islam melihat pembelajaran agama, serta cara mereka menjawab soalan mengenai agama.

Beliau mengetengahkan isu bahawa orang ramai mempunyai akses kepada AI melalui telefon pintar mereka, justeru penggunaan AI hanya akan meningkat, sama ada ia akan digunakan demi kebaikan atau keburukan.

Dalam ucapan penutup, Dr Nazirudin berkata:

“Orang Islam mesti merasakan bahawa institusi fatwa dan kepimpinan agama adalah relevan bagi mereka.

“Jika mereka tidak melihat unsur relevan ini, dan jika institusi fatwa ketinggalan dan terpisah daripada mereka, maka sudah tentu mereka akan mencari sumber lain (untuk mendapat panduan).”

Hari kedua Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari 2024 dihadiri sekitar 200 hadirin, termasuk asatizah, pelajar, dan pakar industri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >