
PENGUASA Hasil Mahsul Singapura (Iras) mengeluarkan amaran tentang penipuan e-mel meminta penerima klik pada pautan untuk membuat pembayaran disebabkan percanggahan pulangan cukai mereka.
E-mel penipuan ini dihantar dari TaxServices@secure-datalink.org dan memberitahu penerima bahawa penyata cukai yang diserahkan mereka tidak sepadan dengan maklumat yang diberikan daripada pihak ketiga, misalnya, majikan mereka.
E-mel itu kemudian meminta penerima memperbetul percanggahan ini dengan mengklik pada pautan penipuan untuk membayar jumlah yang terhutang.
"Jangan berikan sebarang butiran peribadi, kad kredit atau akaun bank, buat pembayaran ke akaun bank pihak ketiga atau ikut sebarang arahan oleh pengirim," kata Iras.
Ia juga menasihatkan mangsa penipuan untuk membuat laporan polis.
Iras juga berkata, ia tidak meminta butiran peribadi pembayar cukai atau sebarang maklumat sulit melalui e-mel atau pautan web.
"Untuk transaksi cukai, termasuk pemfailan dan pembayaran, pembayar cukai harus menggunakan borang dan perkhidmatan digital yang berkaitan dalam Portal myTax yang dijamin dengan log masuk Singpass," tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg