Warga Iran-Iraq yang juga komander sebuah kumpulan pengganas asing, Mohammad Baqer Saad Dawood Al-Saadi, telah memohon visa untuk ke Singapura sebanyak tiga kali pada 2023 dan 2024.

Walaupun komander kumpulan Kata’ib Hizballah itu akhirnya tidak melakukan perjalanan ke Singapura, dia dipercayai telah berkunjung ke rantau Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Mendedahkan perkara itu menerusi Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura 2026 yang dikeluarkan pada 10 September, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menambah bahawa mereka tidak menolak kemungkinan perjalanan Baqer ke rantau ini adalah untuk tujuan pengganasan.

“Baqer telah memohon visa untuk melawat Singapura sebanyak tiga kali pada 2023 dan 2024, tetapi akhirnya tidak pergi ke Singapura. Walau bagaimanapun, dia dipercayai telah pergi ke Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sekiranya dia cuba memasuki Singapura, dia akan dihalang masuk.

“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa perjalanan Baqer ke rantau ini mungkin untuk tujuan pengganasan, dan dia mungkin telah menyasarkan Singapura, termasuk kepentingan Amerika dan Israel/Yahudi di sini.

“ISD sedang bekerjasama dengan rakan perisikan kami untuk menyiasat kegiatan Baqer,” kata ISD.

Baqer sebelum ini ditahan di Turkey dan didakwa di Amerika Syarikat pada Mei 2026 atas pertuduhan merancang serangan ke atas sebuah saumaah (synagogue) di New York City serta dua lagi pusat Yahudi di Los Angeles dan Scottsdale, Arizona.

Dia dipercayai telah mengarahkan sekurang-kurangnya 20 serangan dan percubaan serangan yang dikaitkan dengan sebuah kumpulan pengganas, Harakat Ashab al-Yamin al-Islamiya (Hayi), ke atas kepentingan Amerika dan Yahudi di seluruh Eropah, Amerika, dan Canada.

Dia juga didapati membantu menghasilkan dan menyebarkan video propaganda mengenai serangan tersebut di saluran-saluran media sosial.

ISD menambah, Baqer dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kanan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) seperti Qasem Soleimani, yang terbunuh dalam serangan udara Amerika pada 2020.

Singapura dan Asia Tenggara terus rasai kesan ketegangan geopolitik dan ketidakstabilan di Timur Tengah, tambah laporan itu.

Malah sebelum konflik Amerika-Israel-Iran yang sedang bergolak, Iran dan proksi bersenjatanya telah dikaitkan dengan rancangan untuk menjalankan serangan secara sulit yang menyasarkan kepentingan Israel dan Yahudi di pelbagai negara.

“Ancaman tersebut telah meningkat dengan ketara sejak operasi ketenteraan Amerika dan Israel terhadap Iran pada Februari 2026, yang telah mencetuskan gelombang tindak balas oleh Iran dan proksi bersenjatanya yang melangkaui Timur Tengah,” lapor ISD.

“Di tengah-tengah iklim keselamatan yang semakin memuncak ini, pihak berkuasa serantau telah mengambil tindakan tegas untuk mengesan dan mematahkan ancaman pengganasan, terutamanya dengan naratif pro-ISIS yang terus mendapat sambutan di ruang dalam talian.

“Memandangkan sifat ancaman pengganasan yang merentasi sempadan (transnasional), ISD bekerjasama rapat dengan rakan perisikan dan keselamatan asing kami, termasuk yang berada di rantau ini, untuk saling bertukar-tukar risikan dan mematahkan ancaman,” ujar ISD.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti