ISI rumah di Singapura dinasihati menjimatkan elektrik sedang kos meningkat berikutan kenaikan harga bahan bakar sebanyak seganda, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong.

Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang diajukan Encik Murali Pillai (Bukit Batok) di Parlimen, Encik Gan berkata, harga bahan bakar naik lebih seganda dalam tempoh setahun setengah lalu, meninggalkan kesan terhadap negara di seluruh dunia termasuk China, Jepun, Britain dan negara Kesatuan Eropah (EU) lain.

Pergerakan harga di pasaran tenaga global akan mempengaruhi Singapura, yang mengimport hampir 100 peratus daripada keperluan tenaganya, kata Encik Gan.

Encik Pillai telah menanyakan tentang peningkatan harga gas asli yang dijangka menyebabkan lonjakan harga elektrik yang mendadak di Singapura pada suku berikutnya, serta usaha pemerintah untuk mengurangkan kesannya.

Pada 30 September lalu, SP Group mengumumkan tarif elektrik bagi isi rumah akan meningkat 3.1 peratus dari Oktober hingga Disember.

Encik Gan mengatakan kesan kenaikan harga bahan bakar jangka pendek dikurangkan di sini dengan dua cara.

Pertama, syarikat penjana kuasa membeli sebahagian besar gas asli mereka di bawah kontrak bekalan gas beberapa tahun.

Kedua, mereka menyampaikan sebahagian daripada kestabilan harga ini kepada pengguna melalui rancangan harga tetap.

Namun, harga bahan bakar yang tinggi akhirnya akan menjejas harga elektrik Singapura, kata Encik Gan.