Isteri calon Presiden, Encik Tan Kin Lian, Cik Tay Siew Hong, berkata beliau kekal berpandangan positif meskipun tertekan berhubung komen suaminya tentang wanita di media sosial menjadi perhatian.
Menyifatkan ia sebagai tidak adil, Cik Tay yang menemani suaminya berkempen buat kali pertama di Pasar Geyang Serai pada pagi Jumaat, juga berharap pihak terlibat akan bertanggungjawab ke atas apa yang disebutkan.
Menjawab pertanyaan media berhubung isu itu, suri rumah berusia 67 tahun itu berkata:
“Saya rasa, apabila saya menerima komen-komen yang bersifat tidak adil ini, ia memberi tekanan kepada saya dan ia juga menjejas keluarga saya,”
“Jadi saya harap mereka akan bersikap bertanggungjawab terhadap apa yang mereka katakan.”
Minggu lalu, Encik Tan dikatakan dikatakan tidak menghormati wanita apabila catatan beliau mengenai “wanita cantik” dimuat naik dan menjadi tular di media sosial.
Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware) kenyataan berhubung isu itu dan mempersoalkan kelayakan Encik Tan.
Sebagai respons, mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income berusia 75 tahun itu, pada Hari Penamaan Calon mendakwa, beberapa pihak termasuk “pesaing utamanya” dalam kempen itu serta “editor media aliran utama” dan persatuan wanita itu bertanggungjawab atas satu percubaan dirancang untuk mencemar namanya.
Namun Encik Tan menarik balik dakwaan tersebut sehari kemudian.
Apabila ditanya bagaimana Cik Tay, mengatasi tekanan dek isu itu beliau berkata: “Saya selalu memberitahu diri sendiri bahawa saya harus selalu berpandangan positif.”
Sebagai menunjukkan sokongannya, Cik Tay berkata beliau sering menyediakan teh herba buat suaminya sebagai cara menyejukkan badan, sejurus pulang daripada berkempen.
Ibu tiga anak itu yang sudah berumah tangga sepanjang 46 tahun juga berkata suaminya adalah seorang “ayah dan suami yang baik” meskipun sibuk bekerja.
“Beliau adalah seorang yang berani tampil untuk menyumbang kepada negara ini kerana cintanya kepada Singapura,” katanya dalam bahasa Mandarin.
Ini merupakan percubaan kedua suaminya menjadi calon Presiden.
Jumaat adalah hari berkempen ketiga selepas Hari Penamaan Calon, bagi tiga calon yang ingin menyandang jawatan tertinggi di Istana itu.
Calon lain ialah mantan Ketua Pegawai Pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song dan mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam.
Encik Tan yang mengadakan lawatan di Geylang Serai pagi Jumaat berkata beliau terharu dengan sambutan hangat yang diterimanya daripada masyarakat Melayu/Islam.
Beliau ditemani isteri serta beberapa penyokongnya yang berpakaian baju hijau sebagai tanda hormat mereka terhadap masyarakat Melayu, katanya.
Encik Tan juga berkata apabila beliau bergelar Presiden nanti, beliau akan menjalin hubungan baik dengan Perdana Menteri.
Ini supaya mereka dapat mencapai matlamat yang sama, yang menurutnya adalah untuk mengurangkan kos sara hidup dan kos perumahan yang lebih dimampui.
Sebagai perbandingan, Encik Tan berkata, adalah tidak mudah bagi pesaingnya Encik Tharman untuk mengubah dasar sedia ada oleh pemerintah berkuasa kerana beliau mempunyai kaitan dengan pemerintah melebihi 20 tahun.
Encik Tan berkata beliau tidak berhasrat menjadi pembangkang dan akan menjalin hubungan baik dengan Perdana Menteri serta ingin menjadi penyelesai masalah.
“Dan sudah tentu sebagai Presiden saya akan mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri,” tambahnya.
Encik Tan berkata rakyat Singapura ingin beberapa dasar diubah, dan mereka mempunyai peluang untuk berbuat demikian jika mereka mengundinya sebagai Presiden.
“Ini supaya saya dapat menyampaikan kepada Perdana Menteri, kepentingan, aspirasi dan juga kesulitan yang dihadapi orang ramai.”
“
“Saya rasa, apabila saya menerima komen-komen yang bersifat tidak adil ini, ia memberi tekanan kepada saya dan ia juga menjejas keluarga saya. Jadi saya harap mereka akan bersikap bertanggungjawab terhadap apa yang mereka katakan... Saya selalu memberitahu diri sendiri bahawa saya harus selalu berpandangan positif.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg